Shamsulkahar Mohon Kerajaan Teliti Hutang Peserta Felcra Rompin
KUALA LUMPUR, 12 Nov – Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli memohon kerajaan meneliti semula bebanan hutang pembangunan yang ditanggung oleh peserta Projek Tanah Rancangan FELCRA Rompin B, susulan hasil tanaman yang tidak memberangsangkan.
Menurut beliau, projek yang dimulakan sejak 1982 itu melibatkan seramai 99 peserta dengan tanaman getah sepenuhnya, namun pada 2013 pokok getah asal ditebang dan tanaman semula menggunakan klon baharu daripada Lembaga Getah Malaysia (LGM) bermula pada 2015.
“Pada tahun 2021, kerja torehan bermula, namun klon pokok getah daripada LGM ini tidak berkualiti dengan hasil susu getah terlalu sedikit, pokok kecil, cepat rosak dan mati.
“Jika dahulu dua hari menoreh sudah penuh satu mangkuk setengah kilo, kini mengambil masa sembilan hari untuk hasil yang sama,” katanya di Dewan Rakyat semalam.
Susulan itu kata Shamsulkahar peserta kini hanya memperoleh sekitar RM800 sebulan, sedangkan hutang tanaman semula berjumlah RM97,000 perlu dibayar RM500 sebulan selama 20 tahun.
“Ini bermakna, peserta yang majoritinya berumur lebih 60 tahun hanya tinggal sekitar RM300 sebulan untuk menyara keluarga.
“Ia sangat membebankan dan menjejaskan matlamat asal FELCRA untuk meningkatkan pendapatan luar bandar,” ujar beliau.
Pada masa sama, beliau turut mengusulkan agar kerajaan membina jalan luar bandar di antara FELCRA Rompin ke Felda Palong Dua sejauh 6 kilometer (km).
Menurut Shamsulkahar ini kerana Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Palong Dua berdepan dengan isu kekurangan murid dengan bilangan pelajar seramai 184 orang sahaja.
Katanya ia berpunca daripada dua buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Palong 2 dan SK Felda Palong 3 yang juga mengalami masalah kekurangan murid.
“Saya yakin pembinaan jalan baru ini akan membolehkan pelajar-pelajar dari mukim Rompin bersekolah di SMK Felda Palong Dua dengan jarak hanya 10 km berbanding kini mereka menempuh perjalanan 21 km untuk bersekolah di SMK Bahau.
“Semoga dengan pembinaan jalan baru ini akan dapat membantu menyelesaikan masalah kekurangan murid di SMK Felda Palong 2 di samping menjadi akses baru di antara kawasan Rompin dan Palong serta pemangkin ekonomi setempat,” ujar beliau. – UMNO Online
