Hak 40% Hasil Sabah: BN Sambut Baik Keputusan Kerajaan Persekutuan

KUALA LUMPUR, 12 Nov – Barisan Nasional (BN) menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan yang menghormati prinsip Pemberian Khas 40 peratus hasil Sabah sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan Kerajaan Persekutuan untuk tidak membuat rayuan terhadap Pemberian Khas ini merupakan langkah yang tepat dan selaras dengan semangat federalisme, serta menghormati hak rakyat Sabah yang telah dijamin sejak dahulu lagi.

“BN turut mengambil maklum keputusan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang akan segera memulakan proses rundingan bersama Kerajaan Sabah bagi memastikan pelaksanaan Pemberian Khas ini dapat direalisasikan dengan penuh tanggungjawab dan ketelusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, BN sentiasa menjunjung kepentingan rakyat Sabah serta memperjuangkan hak-hak yang termaktub dalam perjanjian dan perlembagaan. Langkah ini jelas membuktikan komitmen kerajaan Persekutuan terhadap negeri itu dilaksanakan secara adil dan berterusan.

“BN akan terus konsisten memperjuangkan hak Sabah dan juga memastikan semangat kerjasama berteraskan federalisme serta keharmonian antara negeri-negeri diperkukuhkan demi memastikan Malaysia kekal stabil, makmur dan inklusif,” tambahnya. – UMNO Online

KENYATAAN MEDIA – PENGERUSI (2)

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO