Dari Parlimen: Simpang Renggam Harap Peruntukan JMG Ditambah

KUALA LUMPUR, 12 Nov – Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Ir Hasni Mohamad berharap agar kerajaan menambah peruntukan kepada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) untuk membolehkan kajian mengenai sumber bekalan air dapat dilaksanakan sebaiknya.

Ujarnya, teknologi yang terkini diperlukan untuk mendapatkan sumber bekalan air bawah tanah dan kajian terperinci perlu dilaksanakan.

“Akhirnya, kajian sumber air tanah negara merupakan satu perkara yang penting. Sumber air tanah seperti yang ada di Kelantan ataupun di mana-mana negeri… itu bukannya teknologi sumber air tanah.

“Ia memerlukan teknologi yang terkini. Bagaimana Jabatan Mineral dan Geosains ini… teknologi apa yang diguna pakai, menjadikan RM5.78 juta akan dibelanjakan pada tahun hadapan untuk tujuan kajian.

“Saya difahamkan kajian demi kajian telah dibuat tapi hasil dapatannya masih lagi tidak seperti yang diharapkan. Saya pernah seperti rakan saya di Tebrau, saya juga pernah menjadi exco kerajaan negeri jaga infrastruktur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan RUU Perubahan Iklim Nasional di Parlimen, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berpandangan bahawa Padang Polo Istana Johor perlu digunakan sebagai salah satu contoh untuk kajian yang bakal dijalankan JMG.

“Terbukti di Johor bekalan air untuk kegunaan Padang Polo Istana Johor tidak lagi menggunakan sumber air daripada Syarikat Air Johor. Tetapi, menggunakan sumber air bawah tanah. Ini adalah tahun ke sembilan, tidak ada pun berlaku sebarang mendapan.

“Mengapa Johor yang mempunyai pusat data yang paling banyak dalam negara berdepan dengan cabaran sumber bekalan air? Jadi, ini harus membolehkan JMG lebih bersungguh-sungguh melaksanakan kajian.

“RM5 juta tidak mencukupi. Saya berharap untuk ‘rolling plan’ pertama dan kedua, lebih banyak lagi diperuntukkan kepada JMG supaya kajian yang lebih terkini diguna pakai dalam membuat keputusan tentang sumber air tanah negara,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO