Laksana Blueprint Jadikan Sabah Hab Hasil Pertanian Negara
KUALA LUMPUR, 11 Nov – Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir mencadangkan agar Sabah National Agriculture Produce Hub Blueprint dirangka sebagai dasar pelaksanaan di peringkat nasional bagi memperkasa sektor pertanian di negeri itu.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Sabah berkata, pelan tersebut perlu meletakkan Sabah sebagai pusat pengeluaran, pengumpulan, pemprosesan dan pengedaran hasil pertanian negara.
“Komponen pertama blueprint ini ialah penyelarasan dasar dan pelaksanaan antara kementerian bersama Kerajaan Negeri Sabah, supaya pelaksanaan setiap program adalah selari dan tidak bertindih.
“Seterusnya komponen kedua ialah penyediaan peruntukan khas block allocation untuk Sabah bagi membolehkan projek-projek strategik, infrastruktur pengedaran dilaksana dengan segera
“Kemudiannya komponen ketiga penetapan rangka masa pelaksanaan yang jelas dan berfasa agar kemajuan dapat diukur dan dipantau dengan baik,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut kata beliau lagi, untuk membolehkan negeri itu berfungsi sebagai hab hasil pertanian negara Sabah tidak boleh lagi dilayan sebagai pasaran pengguna.
Menurut beliau ini kerana realitinya, struktur edaran hasil pertanian hari ini tidak adil kepada Sabah kerana pusat pengumpulan dan pengedaran bertumpu di luar negeri ini.
“Akibatnya, rakyat Sabah terpaksa membayar harga makanan yang jauh lebih tinggi berbanding Semenanjung.
“Sebagai contoh, bawang merah di Sabah boleh mencecah RM6 hingga RM8 sekilogram berbanding sekitar RM3.90 hingga RM5.50 di Semenanjung.
“Manakala cili merah hampir RM21 sekilogram di Sabah berbanding sekitar di Semenanjung RM12 hingga RM13,” ujar beliau. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib
