Jajaran Sungai Utama Perlu Diwarta Sebagai Warisan Sumber Makanan Negara
KUALA LUMPUR, 11 Nov – Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib mencadangkan agar Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengambil inisiatif mewartakan jajaran sungai utama di negara ini sebagai Warisan Sumber Makanan Negara.
Menurut beliau, langkah itu penting bagi memastikan sumber makanan negara terus terpelihara dan tidak terjejas akibat pencemaran serta pembangunan yang tidak terkawal.
“Saya cadang supaya LKIM ambil inisiatif berunding dengan agensi dan jabatan kerajaan terlibat peringkat persekutuan dan negeri supaya wartakan jajaran limbungan sungai utama di negara ini supaya diwartakan sebagai Warisan Sumber Makanan Negara.
“Kita tahu sungai ini perlu dipelihara, tidak boleh dicemarkan. Mesti ada sesuatu tindakan diambil supaya di kiri dan kanan sungai itu tidak berlaku pencemaran.
“Kalau tidak kita menjadi kerajaan yang meningalkan sesuatu tidak baik kepada generasi akan datang,” katanya di Dewan Rakyat.
Manndzri berkata ia rentetan ban pecah yang berlaku di Sungai Sayong, Ulu Sungai Johor baru-baru ini sehingga menjejaskan 125 nelayan darat dan 26 daripadanya adakah kalangan masyarakat Orang Asli di Kampung Sayong Pinang.
Katanya lagi pencemaran pasir atau silika ini telah mengubah struktur air dan membunuh hampir semua hidupan sungai seperti ikan baung, udang galah dan etok yang menjadi pendapatan utama mereka.
“Bagi kes ban pecah ini saya berharap pihak LKIM boleh membuat tindakan dengan melepaskan benih ikan, udang dan etok kerana mereka kata ia mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk pemulihan ekosistem sedia ada,
“Cabaran nelayan darat terkaitan ancaman lokasi ‘cari makan’ terutama sungai seperti pencemaran sungai di Sayong Pinang ini.
“Saya juga yakin berlaku juga aktiviti ekonomi pelbagai melibatkan jalinan limbangan sungai di seluruh negara seperti perlombongan mineral, logam dan pasir,” ujar beliau. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib
