Inovasi Desa, Denyut Kejayaan KKDW – TPM

PUTRAJAYA, 11 Nov – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa inovasi menjadi nadi utama kejayaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam usaha memperkasa pembangunan luar bandar serta meningkatkan taraf hidup masyarakat desa.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, menjelang penghujung tahun 2025, beliau berbangga dengan semangat serta tekad seluruh warga KKDW dan agensi di bawahnya yang sentiasa berfikir di luar kebiasaan demi kemajuan desa.

“Setiap inisiatif yang dilaksanakan, daripada memperkasa pendidikan prasekolah hingga membawa produk desa ke pasaran antarabangsa, menjadi bukti bahawa langkah-langkah yang diatur telah membuahkan hasil yang nyata,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Namun jelas beliau, kejayaan yang dicapai perlu dipertahankan dengan disiplin, kecekapan dan keberanian untuk terus berinovasi.

“Untuk mencapai kejayaan itu sukar, tetapi untuk mempertahankannya jauh lebih sukar. Sebab itu saya tekankan agar kita terus berdisiplin, bekerja pantas dan berinovasi dengan keberanian,” ujarnya.

Dr. Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turut menekankan bahawa inovasi bukan sekadar slogan atau hiasan laporan, sebaliknya mesti berakar daripada realiti kehidupan masyarakat desa.

Beliau memberi contoh bagaimana teknologi seperti dron digunakan bagi memetakan sawah padi, analitik data bagi meramal cuaca dan harga komoditi, serta platform e-dagang yang menghubungkan usahawan desa ke pasaran global.

“Tenaga boleh baharu juga kini menerangi kampung-kampung terpencil pada kos yang lebih rendah. Semua ini sedang berlaku dan tanggungjawab kita ialah mempercepatkan pelaksanaannya agar manfaatnya dapat dirasai oleh seluruh rakyat,” katanya.

Beliau yakin dengan semangat dan komitmen berterusan seluruh warga KKDW, kementerian itu akan melangkah ke tahun 2026 sebagai sebuah institusi yang lebih efisien, diyakini rakyat dan terus dekat di hati masyarakat desa.

“Insya-Allah, jika semangat ini terus menyala, KKDW akan terus menjadi kementerian yang membumi, mendengar denyut nadi rakyat dan memacu kejayaan desa dengan inovasi,” tambahnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO