Semak Semula Sistem SISPAA, Lindungi Guru Daripada Aduan Tidak Wajar
KUALA LUMPUR, 10 Nov – Ketua Pemuda UMNO Machang, Datuk Mohd Sharizal Semsuddin menggesa kerajaan menyemak semula Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) yang disifatkan tidak lagi mesra terhadap penjawat awam, khususnya para guru.
Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Kelantan berkata, sistem itu pada asalnya diwujudkan bagi memudahkan ibu bapa membuat aduan terus kepada pihak berkuasa terhadap isu berkaitan sekolah, namun kini telah memberi kesan negatif kepada moral dan motivasi guru.
“Hari ini guru diikat kaki dan tangan, tetapi disuruh mengajar dan mendidik, menghasilkan pelajar yang cemerlang.
“Namun realitinya, guru tidak lagi mampu untuk mendidik dengan sepenuh hati kerana takut dikenakan tindakan hanya kerana menegur pelajar,” katanya yang juga bekas guru ketika menjadi panelis forum Rundingan Meja Bulat Pendidikan Nasional (RIMBUN) 2025 di Dewan Tun Razak 4, Pusat Dagangan Dunia (WTC), pada Jumaat.
Mohd Sharizal berkata, terdapat kes guru disiasat hanya kerana menegur pelajar yang tidak hadir ke kelas tambahan, selepas ibu bapa membuat aduan melalui sistem berkenaan.
“Guru menegur pelajar yang tidak hadir kelas tambahan. Pelajar lain pula tengok kawan mereka buat TikTok Live waktu sama.
“Akhirnya, bila guru panggil pelajar ke sekolah guru itu pula yang dikenakan tindakan melalui SISPAA,” ujarnya.
Tambahnya, walaupun sistem tersebut baik dari segi konsep ketelusan dan keterbukaan, pelaksanaannya perlu disemak agar hanya melibatkan aduan yang benar-benar serius seperti isu perkauman, agama atau penderaan.
Mohd Sharizal menegaskan, Kementerian Pendidikan perlu menilai semula pelaksanaan SISPAA agar ia benar-benar membantu memperkukuh sistem pendidikan, bukan melemahkan peranan guru.
“Kita tidak menolak sistem ini bagus untuk aduan yang penting, tetapi jangan sampai setiap teguran guru pun dilapor seperti satu jenayah.
“Hari ini, bila guru ambil tindakan disiplin, guru pula yang disoal siasat seolah-olah buat kesalahan. Ini tidak adil.
“Menteri yang bertanggungjawab perlu semak semula sistem SISPAA. Pastikan ia hanya digunakan untuk kes serius dan bukannya ruang untuk ibu bapa membuat aduan remeh.
“Kalau kita tanya kenapa anak-anak hari ini tidak cemerlang seperti dulu, ibu bapa juga perlu tanya diri sendiri apa yang telah kita lakukan kepada sistem pendidikan hari ini,” katanya. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib
