Tindakan Tolak Belanjawan 2026 Bukti Pembangkang Tidak Utamakan Rakyat – Jasnizam Husni

KUALA LUMPUR, 7 Nov – Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah, Muhamad Jasnizam Muhamad Husni mengecam tindakan ahli-ahli Parlimen pembangkang yang menolak Belanjawan 2026 dan memperlihatkan satu tindakan yang dianggap kurang profesional serta tidak berlandaskan semangat demokrasi yang matang.

Jelas beliau, belanjawan wajar dinilai secara objektif dengan mengambil kira kepentingan rakyat dan negara, bukannya dijadikan medan politik untuk mendapatkan kelebihan atau menunjukkan kuasa.

“Tindakan pembangkang menolak Belanjawan 2026 tanpa perbahasan yang konstruktif atau tanpa mengemukakan alternatif yang lebih baik, jelas mengundang persepsi negatif terhadap profesionalisme pembangkang.

“Pembangkang seharusnya berperanan sebagai semak dan imbang (check and balance) yang membina, bukan sekadar menentang demi kepentingan politik sempit.

“Rakyat mengharapkan wakil rakyat sama ada kerajaan mahu pun pembangkang perlu memfokuskan usaha ke arah penyelesaian masalah, mencari titik persamaan, dan memastikan keputusan yang dibuat di Parlimen membawa manfaat kepada semua lapisan masyarakat,” katanya kepada UMNO Online.

Jasnizam yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Padang Terap berkata, sistem negara mengamalkan demokrasi berparlimen.

Ujarnya, pembentangan belanjawan merupakan satu proses penting menentukan hala tuju ekonomi, pembangunan rakyat, kebajikan sosial, serta kestabilan negara untuk tahun mendatang.

“Tindakan yang dilakukan oleh pembangkang sebegini juga boleh menjejaskan hilang keyakinan pelabur-pelabur, sekaligus memberi kesan negatif kepada pasaran dan ekonomi negara.

“Persepsi bahawa politik negara tidak stabil atau dipenuhi pertelagahan boleh mengurangkan rasa percaya komuniti antarabangsa terhadap dasar dan perancangan ekonomi kerajaan. Inilah sebabnya proses meluluskan belanjawan memerlukan kebijaksanaan, kepakaran, dan kematangan politik yang tinggi.

“Jika sesuatu belanjawan perlu dikritik atau ditambah baik, ia mesti dilakukan secara beradab, berasaskan fakta, melalui perbahasan mendalam, dan disertai cadangan penambahbaikan,” ujarnya.

Tegasnya, pembangkang yang matang ialah pembangkang yang memberi teguran secara profesional, serta mengutamakan kepentingan rakyat daripada permainan retorik politik.

Terdahulu Ahli Parlimen Pontian merangkap Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan menyindir ahli Parlimen pembangkang kerana tidak menyokong belanjawan 2026.

Tetapi dalam masa yang sama pihak pembangkang meminta pelbagai bentuk peruntukan dari kerajaan Persekutuan untuk disalurkan ke kawasan masing-masing. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO