RIMBUN: Kita Akan Pastikan 50 Peratus Dari Resolusi Dilaksanakan – Dr Akmal
KUALA LUMPUR, 7 Nov – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia akan memastikan 50 peratus resolusi dari Rundingan Meja Bulat Nasional (RIMBUN) akan dilaksanakan oleh pihak kementerian yang terlibat.
Ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh memaklumkan pelbagai idea dan cadangan telah diperolehi sepanjang RIMBUN 1.0 yang membincangkan isu Reformasi Sistem Pendidikan Zaman Kecerdasan Pembuatan (AI) sebentar tadi.

“Alhamdulilah hari ini selesai RIMBUN 1.0 yang membincangkan isu sistem pendidikan. Hari ini kehadiran melibatkan ramai orang, melebihi daripada kapasiti yang kita sediakan.
“Perbincangan tadi sangat menarik dengan panel-panel yang sangat hebat. Ada idea dan juga cadangan daripada para hadirin melibatkan pelbagai generasi termasuk pelajar, guru, wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP).
“Segala cadangan dan idea yang telah kita bincangkan tadi akan kita garap. Seperti yang saya maklumkan tadi, RIMBUN 1.0 tidak akan berakhir hari ini maka kita akan menjelajah ke seluruh negara yang akan dimulakan di Melaka pada bulan hadapan,” katanya.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin berkata, segala cadangan dan idea yang telah diperolehi sepanjang pelaksanaan RIMBUN akan disekalikan kemudian diserahkan kepada pihak-pihak terlibat.

“Dapatan pada hari ini akan kita kemukakan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Selain daripada kita adakan secara bersemuka, kita pun ada juga buat ‘google form’ untuk semua nyatakan cadangan dan juga penambahbaikan.
“Apa yang kita dapat hari ini, Insya-Allah akan kita ‘compile’ bersama. Setelah habis jelajah kita nanti, kita akan dapatkan satu resolusi yang terbaik dan diserahkan kepada menteri sendiri untuk pelaksanaan.
“Kita tidak akan serah ‘kosong’. Kita akan pastikan bahawa resolusi yang kita buat kalau ada sepuluh, sekurang-kurangnya dilaksanakan dalam 50 peratus. Itulah hasrat kita. Kita bukan hanya sekadar nak bercakap dan habis begitu sahaja, kita nak pastikan resolusi yang kita bawa ini Insya-Allah dapat dilaksanakan,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
