Dari Parlimen: Tampin Bidas Machang: ‘Tahun Bila FELCRA Rugi?’

KUALA LUMPUR, 6 Nov – Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa membidas tindakan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal yang mendakwa kerajaan menggunakan badan pembangunan orang Melayu dan Bumiputera sebagai alat politik.

Mohd Isam kemudian bangun untuk memberi celahan bagi mendapatkan kepastian mengenai dakwaan yang dilemparkan oleh Wan Ahmad Fayshal ketika sesi perbahasan di Parlimen sebentar tadi.

“Tadi Machang cakap FELCRA rugi, tahun bila? Boleh jelaskan?” katanya.

Sementara itu, Wan Ahmad Fayshal menjawab celahan tersebut dan meminta agar Kementerian Kewangan memberi jawapan terhadap soalan dikemukakan oleh Mohd Isam.

“Itu nanti saya minta Menteri Kewangan jawab,” katanya.

Terdahulu, beliau mendakwa Kerajaan Madani telah menggunakan badan-badan pembangunan orang awam untuk mendapatkan sokongan rakyat.

“Saya dan rakan-rakan Ahli Parlimen Pembangkang dah banyak kali bagi teguran kepada Kerajaan Madani. Jangan jadikan badan-badan pembangunan orang awam, Melayu dan Bumiputera tempat untuk buat kerja-kerja politik.

“Felcra rugi, buat pelaburan sana sini rugi, Ketengah rugi… saya minta Ahli Parlimen Bagan Datuk, saya tahu lantikan FELCRA semua UMNO Kelantan. Pengerusinya, Ketua UMNO Bahagian Machang dan juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan.

“Rosak, kita dah berapa kali baiki FELCRA. Saya minta Ahli Parlimen Tambun, hentikan gerak kerja politik seperti ini,” katanya lagi.

Untuk rekod, pada Mac 2025 media melaporkan FELCRA telah memperolehi keuntungan sebanyak RM192.51 juta, menunjukkan kenaikan ketara sebanyak 154 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pengumuman keuntungan tersebut dibuat oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Mac tahun ini dan akan hasilnya telah diedarkan kepada para peserta projek FELCRA.

Keuntungan dijana daripada 583 projek itu diagihkan secara berperingkat kepada 68,400 peserta. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO