Politik Khidmat Bakti Diteruskan Di Mersing, Sampaikan Bantuan Kepada Yang Memerlukan

KUALA LUMPUR, 5 Nov – Ketua UMNO Bahagian Mersing, Mohd Youzaimi Yusof meneruskan politik khidmat bakti kepada penduduk tempatan yang kurang bernasib baik.

Terbaharu, menerusi hantaran di Facebook beliau berbesar hati menyantuni Hamizan Mohd Elias yang menghidap minor strok sambil memberikan bantuan kerusi roda untuk memudahkan urusan sehariannya.

“Lama beliau telah dimasukkan ke Hospital Kuantan bagi rawatan tersebut. Sekarang ini masih lagi tidak dapat berdiri lama dan berjalan dengan baik dan sangat-sangat memerlukan sebuah kerusi roda bagi pergerakannya.

“Kami semua mendoakan agar kesihatan beliau bertambah baik dan dipermudahkan Allah. Insya-Allah. Walaupun petang tadi hujan, janji kami untuk menyampaikan sumbangan tersebut tetap kami tunaikan, Alhamdulillah,” katanya.

Youzaimi seterusnya mengunjungi kediaman Norzana Bidin yang baru sahaja kehilangan suami tercinta iaitu Allahyarham Hamidi Ibrahim, kesempatan tersebut dimanfaatkan sebaiknya dengan membacakan tahlil ringkas khusus buat arwah.

Beliau turut memaklumkan akan membantu keluarga tersebut, memandangkan Norzana kini perlu menjaga enam anaknya yang masih bersekolah.

“Arwah meninggalkan seorang isteri dan enam orang anak-anak yang masih kecil dan masih bersekolah. Semasa hayatnya Arwah adalah seorang Nelayan Bubu, manakala Puan Norzana adalah pembantu di Warung.

“Insya-Allah, kami cuba membantu sebaik yang mungkin terutamanya bagi membesarkan anak-anak yang masih bersekolah tersebut. Kami juga berkesempatan untuk membacakan tahlil ringkas khusus buat arwah Hamidi. Semoga arwah ditempatkan bersama orang yang soleh,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO