Jualan Kasih KEDA MADANI Terima Sambutan Menggalakkan, Ringankan Beban Rakyat
PADANG TERAP, 5 Nov – Pengerusi KEDA, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyatakan kesyukuran susulan sambutan menggalakkan daripada orang ramai pada Program Jualan Kasih KEDA MADANI yang diadakan baru-baru ini.
Beliau yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah berkata ini kerana program anjuran Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu merekodkan nilai jualan keseluruhan sebanyak RM523,800 sejak mula dilaksanakan.
Katanya, jumlah itu melibatkan pelaksanaan program di lima lokasi terawal iaitu Yan, Sik, Jitra, Baling dan Kulim .
Menurut beliau, program tersebut turut memberikan penjimatan melebihi RM173,000 kepada 16,000 pengguna yang memanfaatkan harga barangan keperluan pada kadar lebih rendah.
“Kos penganjuran Jualan Kasih KEDA MADANI di Padang Terap sahaja mencecah lebih RM32,000.
“Hasil jualan yang dicapai ini membuktikan bahawa Jualan Kasih semakin dikenali ramai dan benar-benar membantu meringankan beban keluarga,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook sempena program tersebut yang diadakan di Pejabat KEDA Zon 2, Padang Terap.
Mengulas lanjut, beliau berkata KEDA sentiasa komited menyokong usaha kerajaan dalam mengurangkan beban kos sara hidup rakyat melalui program yang mampu memberi manfaat secara langsung kepada komuniti.
Katanya KEDA turut berhasrat untuk meneruskan penganjuran Jualan Kasih KEDA MADANI di daerah-daerah lain bagi memastikan lebih ramai penduduk mendapat akses kepada barangan keperluan pada harga berpatutan. – UMNO Online
