Ahmad Zahid Pengerusikan Sesi Pre-Council Bersama Delegasi Malaysia di Shanghai
Shanghai, 5 Nov – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini memulakan lawatan kerjanya di Shanghai dengan mempengerusikan sesi Pre-Council bersama delegasi Malaysia di Pudong.
Menurut beliau yang juga Presiden UMNO, sesi berkenaan diadakan bagi meneliti setiap agenda dan rangka lawatan supaya perjalanan kerja delegasi berjalan lancar serta mencapai objektif yang telah ditetapkan.

“Saya tekankan bahawa lawatan kerja kali ini mestilah berorientasikan hasil, bukan sekadar lawatan kerja semata-mata. Setiap pertemuan dengan rakan strategik di China perlu diterjemahkan kepada keberhasilan, nilai dan peluang baharu yang memberi manfaat langsung kepada rakyat Malaysia,” katanya.
Ahmad Zahid turut menegaskan kepentingan agar kerjasama yang dijalinkan memberi tumpuan kepada pengukuhan sektor industri halal, pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET), selain memperkukuh bidang teknologi dan inovasi.
Beliau turut berharap agar segala urusan delegasi Malaysia di Shanghai dipermudahkan dan membawa manfaat besar kepada rakyat, di samping memperkukuh kedudukan negara di peringkat antarabangsa.
“Insya-Allah, lawatan ini akan membuka ruang baharu dalam memperkasa hubungan dua hala antara Malaysia dan China,” tambah beliau yang mengadakan lawatan kerja empat hari ke Republik Rakyat China bermula semalam hingga 7 Nov. – UMNO Online
