Malaysia Terus Sokong Usaha Kemanusiaan Untuk Pelarian Rohingya – Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 4 Nov – Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan Malaysia kekal konsisten dalam memperjuangkan isu kemanusiaan melibatkan etnik Rohingya yang terus menjadi mangsa penindasan dan keganasan di Myanmar.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, rakyat Rohingya terpaksa melarikan diri kerana kerajaan Myanmar sendiri tidak mengiktiraf kerakyatan dan etnik mereka.

“Orang Rohingya tertekan, mereka dibunuh bukan saja dengan pihak kerajaan sekarang tetapi oleh pihak etnik yang lain sehingga mereka menjadi mangsa pada keadaan dan terpaksa melarikan diri dan ditempatkan dengan ihsan oleh kerajaan Bangladesh di Cox’s Bazar.

“Kita pernah mengadakan misi di sana dengan membina hospital angkatan tentera dan membawa bantuan. Sehingga ke hari ini keadaan di sana menjadi tempat masalah sosial yang amat teruk dan ini telah dibincangkan pada ASEAN baru-baru ini.

“Kita telah membincang dengan Perdana Menteri serta rakan sejawat berkenaan hal ehwal orang Rohingya, walaupun negara kita bukan petandatangan kepada konvensyen pelarian ini tapi atas perikemanusian negara ini menempatkan mereka sebagai pelarian dan UNHCR berfungsi dan mengalihkan ke negara ketiga tetapi usaha yang dilakukan ini amat sedikit sekali dan tidak sampai 5,000 orang untuk ditempatkan ke negara ketiga,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab persoalan dari Ahli Parlimen Subang, Wong Chen yang meminta Menteri Luar Negeri menyatakan adakah Kementerian bercadang untuk mengadakan mesyuarat berkenaan pengumpulan dana bagi pelarian Rohingya di Cox’s Bazar, Bangladesh dengan negara anggota ASEAN yang lain memandangkan warga Rohingya juga rakyat ASEAN.

Tambah Ahli Parlimen Rembau lagi, ia tidak seperti pelarian Vietnam terdahulu dan mereka semua telah ditempatkan dan menutup kem pelarian Vietnam.

Mengulas lanjut kata Mohamad lagi, usaha telah dilakukan oleh pelbagai pihak dan pentadbiran baharu Myanmar sedang melaksanakan proses pemutihan bagi menerima semula rakyat Rohingya.

“Bagaimana cara hendak mengatasinya maka pentadbiran baharu Myanmar sedang melakukan pemutihan untuk menerima semula kepulangan rakyat Rohingya apabila keadaan telah reda.

“Setakat ini mereka telah mengenal pasti dari 1juta orang yang berada di Cox’s Bazar seramai 300 orang kerana pihak sana menjelaskan orang Rohingya sebenarnya bukan dari Rohingya kerana dahulu ada masalah di Bangladesh, mereka melarikan diri ke Myanmar.

Ujar Mohamad, Malaysia mendapat banyak dukungan daripada masyarakat antarabangsa termasuk PBB untuk pastikan usaha menangani masalah yang di alami dapat diatasi serta dikurangkan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO