KKDW Fokus Tingkat Keberkesanan Projek Pembangunan Luar Bandar
KUALA LUMPUR, 4 Nov – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan komitmen Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam memastikan setiap projek pembangunan luar bandar dilaksanakan secara cekap, berimpak tinggi serta berpaksikan kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan KKDW (MTPK) Bil. 2 Tahun 2025 semalam, yang bertujuan meneliti prestasi pelaksanaan projek, menyelaras isu berbangkit serta memastikan pencapaian fizikal dan perbelanjaan kementerian berada di landasan yang ditetapkan menjelang akhir tahun ini.

“KKDW sentiasa komited memastikan setiap projek pembangunan luar bandar benar-benar memberi manfaat kepada rakyat. Kita mahu memastikan segala perancangan diterjemahkan kepada hasil yang nyata dan menyentuh kehidupan masyarakat desa,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.
Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa usaha memperkukuh iltizam pelaksanaan projek akan terus dipacu melalui semangat kerja berpasukan dalam kalangan warga kementerian dan agensi di bawahnya.
“Insya-Allah, dengan kesungguhan pasukan dan keutuhan semangat kerja berpasukan, KKDW akan terus memacu agenda pembangunan desa yang mampan, inklusif dan sejahtera untuk semua lapisan rakyat,” katanya.
Mesyuarat MTPK tersebut turut dihadiri pegawai kanan kementerian serta wakil agensi pelaksana bagi membincangkan strategi mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan luar bandar di seluruh negara. – UMNO Online
