M-TUN Perkukuh Laluan Akademik Graduan TVET – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 30 Okt — Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (M-TUN) berperanan penting dalam memperluas laluan akademik bagi lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ke peringkat lebih tinggi, kata Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, menerusi rangkaian enam universiti teknikal di bawah M-TUN, pelajar TVET yang tidak terus memasuki pasaran kerja kini mempunyai peluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat diploma, ijazah dan seterusnya.

“Melalui enam M-TUN ini, kami telah memperoleh pengiktirafan daripada Jabatan Tenaga Kerja dan Majlis Kelayakan Negara (MQA) bagi mencantumkan kelayakan TVET.

“Ini bermakna Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 4 disetarafkan dengan diploma, SKM Tahap 5 dengan diploma lanjutan, SKM Tahap 6 dengan ijazah, dan SKM Tahap 7 sedang diuruskan untuk diiktiraf setaraf kelayakan lebih tinggi,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026) peringkat dasar di Dewan Rakyat, semalam.

Menurut Ahmad Zahid, perkembangan itu membuktikan bahawa TVET bukan sekadar melahirkan tenaga kerja berkemahiran, tetapi turut membuka ruang ke arah pembentukan ekosistem baru.

“Perkembangan ini telah mengubah persepsi masyarakat, khususnya ibu bapa, bahawa TVET bukan lagi pilihan kedua. Malah, bidang ini kini menjadi laluan utama kepada masa depan kerjaya yang lebih terjamin,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pekerjaan berasaskan kemahiran atau ‘blue-collar jobs’ kini menjadi antara sektor yang paling pesat berkembang dan mempunyai permintaan tinggi.

“Sebenarnya, pekerjaan berasaskan kemahiran inilah yang sedang menguasai pasaran kerja ketika ini. Sebab itu anak-anak kita semakin yakin memilih TVET,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO