KKR Komited Pastikan Lebuhraya Pan Borneo Dilaksana Ikut Perancangan

KUALA LUMPUR, 30 Okt – Kementerian Kerja Raya (KKR) komited untuk memastikan Projek Jajaran Lebuhraya Pan Borneo (LPB) di Sabah dilaksanakan mengikut perancangan yang telah ditetapkan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, kemajuan fizikal untuk Fasa 1A adalah pada tahap 85.25 peratus dengan anggaran tempoh siap dijadualkan pada suku keempat 2028.

“Jajaran Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah merupakan inisiatif Kerajaan Persekutuan untuk menambahbaik secara berperingkat jaringan infrastruktur jalan raya Persekutuan di Sabah. Antara objektif utamanya adalah untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas, memendekkan masa perjalanan, meningkatkan keselamatan jalan raya, dan merangsang pertumbuhan ekonomi serta sektor pelancongan di sepanjang laluan.

“Pelaksanaan Projek LPB Sabah dengan anggaran jarak keseluruhan 706 kilometer (km) ini dibahagikan kepada 35 Pakej Kerja. Sehingga kini, kemajuan fizikal bagi Fasa 1A dicatat pada tahap 85.25 peratus dan 1B dicatatkan pada tahap 9.49 peratus. Tempoh siap bagi keseluruhan LPB Sabah dijadualkan pada suku keempat 2028.

“Kelewatan Projek LPB Sabah berbanding Sarawak disebabkan oleh beberapa faktor utama yang telah dikenalpasti iaitu Perubahan Kaedah Pelaksanaan daripada Project Delivery Partner (PDP) kepada konvensional pada tahun 2019,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Bajet 2026 Peringkat Dasar di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, pemantauan berterusan dilaksanakan ntuk memastikan kontraktor utama mematuhi komitmen mereka.

“Proses peralihan dan rundingan di Sabah mengambil masa yang lebih lama, melambatkan permulaan semula projek. Projek LPB Sabah mempunyai 35 pakej kerja berbanding hanya sebelas pakej di Sarawak, menyebabkan proses pengurusan, perolehan tender, penyelarasan antara kontraktor, agensi kerajaan dan perunding menjadi lebih panjang.

“Pemantauan berterusan dilaksanakan untuk memastikan kontraktor utama mematuhi komitmen mereka dan hanya subkontraktor yang memenuhi kriteria kelayakan dan diluluskan sahaja dibenarkan untuk terlibat.

“Tindakan tegas seperti mengeluarkan Notis Tunjuk Sebab, kenaan penalti, dan penamatan kontrak akan diambil sekiranya berlaku pelanggaran kepada syarat dan klausa kontrak,” katanya lagi.

Mengulas lanjut beliau berkata, Fasa 2 dan 3 LPB yang dianggarkan sepanjang 430 kilometer adalah tertakluk kepada kaedah dan penelitian lanjut pelbagai pihak.

“Keutamaan pelaksanaan Projek LPB Sabah pada masa ini adalah untuk menyiapkan keseluruhan Fasa 1 terlebih dahulu. Untuk Fasa selanjutnya; Fasa 2 yang merangkumi jajaran dari Tamparuli ke Ranau yang dianggarkan sepanjang 90 km dan Fasa 3 iaitu jajaran dari Tawau – Kalabakan – Keningau – Kimanis yang dianggarkan sepanjang 430 km, pelaksanaan adalah tertakluk kepada kaedah dan juga penelitian lanjut bersama Agensi Pusat dan Kerajaan Negeri Sabah serta status kewangan semasa Kerajaan.

“Bagi memastikan kelancaran pelaksanaan LPB Sabah Fasa 1, Kementerian telah diperkenalkan beberapa inisiatif seperti mewujudkan Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Projek LPB Sabah yang bertujuan menambahbaik tadbir urus pengurusan dan pelaksanaan projek dengan melibatkan semua pihak berkaitan.

“Selain itu, melantik jurunilai swasta di bawah Jabatan Tanah Dan Ukur (JTU) Sabah untuk mempercepatkan proses pengambilan balik tanah di samping menubuhkan unit khas di Sabah Electricity (SE) khusus untuk menyelaras pengalihan utiliti yang mampu menyelesaikan isu pengalihan utiliti dengan lebih pantas dan terancang.

“Projek LPB Sabah adalah projek berimpak tinggi yang merupakan projek keutamaan Kementerian. Justeru, Kementerian komited untuk memastikan projek ini dilaksanakan mengikut perancangan, seterusnya menambah baik jaringan infrastruktur jalan raya Persekutuan di Sabah, sekaligus menjadi pemangkin lonjakan baharu kepada demografi sosioekonomi rakyat Sabah,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO