Komitmen Kerajaan Perkukuh TVET Terus Diterjemah Dalam Belanjawan 2026 – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 29 Okt – Kerajaan terus menunjukkan keprihatinan tinggi terhadap pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) apabila peruntukan bagi sektor itu meningkat kepada RM7.9 bilion dalam Belanjawan 2026, berbanding RM6.8 bilion sebelum ini.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata peningkatan peruntukan tersebut memperlihatkan komitmen yang jelas daripada kerajaan.
“Apabila Majlis TVET diberikan tanggungjawab kepada saya untuk melakukan penyelarasan, ketika itu peruntukannya berjumlah RM6.8 bilion. Ia kemudian dipertingkatkan kepada RM7.5 bilion dan bagi tahun hadapan meningkat lagi kepada RM7.9 bilion. Ini menunjukkan kerajaan amat prihatin terhadap institusi TVET,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.
Ahmad Zahid berkata, terdapat 1,398 institusi TVET di seluruh negara, yang kini menjadi tumpuan pelajar lepasan sekolah untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kemahiran.
Beliau berkata, penyertaan pelajar TVET lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) meningkat daripada 190,000 orang pada 2022 kepada 439,000 orang, dengan 53.9 peratus daripada lepasan SPM memilih bidang TVET berbanding aliran pendidikan konvensional.
“Ini satu perkembangan yang cukup baik dan menunjukkan keyakinan pelajar terhadap prospek pendidikan TVET,” katanya.
Menurutnya, graduan TVET turut menikmati gaji premium, walaupun kelulusan mereka setaraf dengan SPM atau diploma.
“Sebagai contoh, Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 setaraf dengan SPM, tetapi mereka memperoleh gaji melebihi kadar gaji minimum. Manakala SKM Tahap 4 pula berada pada paras gaji melebihi RM3,500,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, perkembangan ini menunjukkan bahawa TVET bukan lagi pilihan kedua, sebaliknya menjadi laluan utama kepada anak muda untuk mendapat pekerjaan berkualiti serta berpendapatan tinggi. – UMNO Online
