Belanjawan 2026 Perkukuh Institusi Parlimen – Azalina

KUALA LUMPUR, 29 Okt — Kerajaan hari ini menunjukkan komitmen tinggi terhadap pengukuhan institusi demokrasi negara menerusi pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen (Parliamentary Services Act) serta peruntukan di dalam Belanjawan 2026 sepertimana yang diumumkan baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata peruntukan bagi pelaksanaan akta itu yang dimasukkan dalam Belanjawan 2026 membuktikan kesungguhan kerajaan memastikan Parlimen Malaysia terus berdiri teguh sebagai tonggak utama demokrasi negara.

“Bagi menjawab pertanyaan Yang Berhormat Kota Melaka berhubung dengan institusi Parlimen, seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, institusi ini terus diperkasakan di bawah Belanjawan 2026 dengan penerimaan peruntukan lebih RM200 juta, termasuk tambahan sebanyak RM5 juta khusus bagi memperkukuh fungsi Jawatankuasa Pilihan sebagai mekanisme semak dan imbang kepada dasar-dasar Kerajaan. Jumlah ini merupakan yang tertinggi berbanding tahun tahun sebelumnya.

“Tidak ada gunanya kita bercakap tentang demokrasi sekiranya bajet untuk mengimplementasikan demokrasi itu sendiri tidak wujud. Sebab itu saya katakan kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri benar-benar ‘walk the talk’,”. Kita janjikan Parlimen ‘Services Act’ kita tunaikan. Dan Bajet tahun 2026 ialah komitmen tersebut. Sebab kita kadang-kadang dengar bahawa jawatan kuasa pilihan ‘select comitte’  mengatakan cabaran di segi kewangan.

“Wahal di dalam Dewan ini pada hari ini sebagai contoh belanjawan negara diluluskan oleh ahli-ahli Parlimen. Takkanlah ahli-ahli Parlimen yang bertanggungjawab untuk meluluskan belanjawan tidak boleh memberikan komitmen yang besar dan persoal kerajaan tentang komitmen kerajaan kepada institusi Parlimen. Jadi belanjawan ini saya harap yang digunapakai oleh Parlimen saya cukup yakin dengan kepimpinan kedua-dua speaker akan memberikan definasi sebenarnya atas maksud semak dan imbang,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Yang di-Pertua Dewan Negara atas keyakinan serta komitmen mereka dalam memastikan Parlimen terus berfungsi sebagai medan semak dan imbang kepada kerajaan.

“Melalui pengasingan ini, Parlimen akan dilihat mempunyai autonomi penuh dalam hal ehwal pentadbiran, pengurusan pejabat dan kewangan. Tidak ada maknanya kita bercakap tentang kebebasan jika kewangan atau pentadbiran masih dikawal,” katanya.

Menurut Azalina, walaupun pegawai Parlimen dikategorikan sebagai penjawat awam, mereka berada di bawah pengurusan Parlimen Malaysia, selaras dengan prinsip kebebasan institusi legislatif.

“Langkah ini bukan sahaja memperkukuh prinsip semak dan imbang, tetapi juga memastikan demokrasi negara berfungsi dengan lebih tulen dan berkesan pada masa hadapan,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO