ASEAN 2025 Bukti Malaysia Dihormati Dalam Arena Antarabangsa – Mohd Isam

KUALA LUMPUR, 28 Okt – Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa merakam ucapan tahniah buat seluruh pimpinan kerajaan atas kejayaan negara selaku Pengerusi ASEAN 2025.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tampin berkata, kesungguhan Kerajaan yang telah memanfaatkan pentas diplomatik dengan menyatakan pendirian Malaysia secara terus kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump terhadap isu-isu keamanan dan kemanusiaan, termasuklah perkara yang berlaku di bumi Gaza, Palestin dan juga dasar-dasar AS yang menindas.

“Kejayaan negara dalam mempengerusikan ASEAN bukan sahaja mencerminkan kemampuan diplomasi dan tadbir urus negara di peringkat antarabangsa, malah telah membuktikan bahawa Malaysia terus menjadi suara sederhana yang berpengaruh di rantau Asia Tenggara.

“Dari perspektif ekonomi dan perut rakyat, suka tidak suka, mahu tidak mahu. Kehadiran Presiden AS, Donald Trump memberi pulangan yang lumayan terhadap negara, khususnya mengenai perjanjian Agreement on Reciprocal Trade (ART).

“Perjanjian ini membolehkan 1,711 produk eksport negara seperti minyak sawit, getah koko, komponen farmaseutikal dan peralatan aeroangkasa menikmati kadar tarif yang lebih rendah ke pasaran AS, malah ada yang menerima kadar kosong peratus tariff,” katanya ketika perbahasan Belanjawan 2026.

Tambah beliau, kesan daripada perjanjian ART dan Comprehensive Strategic Partnership (CSP) mengakibatkan nilai ringgit dan pasaran saham tempatan telah meningkat yang  menandakan keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara.

Mengulas lanjut, Isam mencadangkan langkah yang perlu diambil oleh kerajaan dan FELDA untuk memastikan kejayaan fasa baharu ini.

“Audit bebas terhadap prestasi FGV sebelum dan selepas penyahsenaraian perlu dibuat serta laporan kemajuan hendaklah dimaklumkan kepada peneroka.

“Memastikan peruntukan khusus diberikan kepada peneroka seperti akses kepada latihan, dan modal kecil keusahawanan supaya peneroka tidak hanya bergantung kepada ladang sawit konvensional. Contohnya seperti kawasan tanah rancangan di Tampin, inisiatif seperti ladang kecil moden, agro-pelancongan dan penanaman alternatif boleh dipertingkatkan.

“Hendaklah memastikan jaminan pembahagian hasil yang adil, bukan sekadar melalui dividen semata-mata tetapi juga melalui pembangunan infrastruktur kampung, pendidikan, kesihatan dan kemudahan asas,” katanya lagi.

Justeru kata Isam lagi, agar perubahan ini benar-benar dapat memanfaatkan peneroka.

“Inilah masanya untuk FELDA kembali kepada tujuan asal penubuhannya iaitu membangunkan tanah dan bangsa,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO