KKR Fokus Pemasangan Lampu Jalan Di Lokasi Risiko Tinggi Kemalangan
KUALA LUMPUR, 27 Okt – Timbalan Menteri Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan kementerian melalui Program Menaiktaraf Infrastruktur Keselamatan Jalan Raya melaksanakan skop pemasangan lampu jalan di kawasan berlaku kemalangan.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata ia termasuk persimpangan, selekoh dan jambatan serta kawasan yang mempunyai rekod kemalangan yang dikenal pasti.
Katanya pemasangan lampu jalan akan dibuat secara setempat, berskala kecil, dan memenuhi keperluan pencahayaan.
“Berdasarkan rekod, sebanyak 50 lokasi terpilih dengan kos berjumlah RM5.5 Juta telah dilaksanakan pemasangan lampujalan di bawah program ini di Jalan Persekutuan di Negeri Perak pada tahun 2022 sehingga 2024.
“Pada tahun 2025 sebanyak RM24.95 juta telah diperuntukkan bagi pemasangan lampu jalan di 258 lokasi Jalan Persekutuan terpilih di seluruh Malaysia.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 26 lokasi Jalan Persekutuan di Negeri Perak telah siap pemasangan lampu jalan di bawah program ini dengan kos keseluruhan berjumlah RM2.6 juta,” katanya.
Ahli Parlimen Pontian itu berkata demikian ketika ditanya Fathul Huzir Ayob (PN-Gerik) berkenaan status terkini Bajet 2026 berkenaan permohonan lampu jalan FT1157, Jalan Persekutuan sempadan Malaysia-Thailand.
Mengulas lanjut kata Ahmad, KKR mengambil maklum terhadap permohonan bagi pemasangan lampu jalan di laluan tersebut selain mempertimbangkan cadangan pemasangan lampu solar di kawasan tersebut untuk kelulusan tahun 2026
“Penyelenggaraan lampu jalan di FT1157 berjumlah RM150,000 tahun 2025 untuk memperbaiki lampu rosak, kabel rosak di Seksyen 20.5. Jalan itu sepanjang 23 km dan pembaikian lampu telah siap pada 31 Jun yang lalu.
“Terdapat 35 tiang lampu di sepanjang jalan tersebut akan mempertimbangkan untuk pemasangan tambahan 30 lampu jalan pada tahun 2026 tertakluk kepada Bajet dengan kos anggaran RM300 ribu,” ujar beliau. – UMNO Online
