Kenaikan BSH Tanda Pengiktirafan Jasa Kepada Pesara KEMAS

KUALA LUMPUR, 27 Okt – Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan menyifatkan kenaikan Bayaran Sara Hidup (BSH) terutama kepada bekas anggota KEMAS yang tidak berpencen sebagai satu langkah tepat dan amat bermakna bagi meringan beban kewangan mereka.

Menurut beliau, langkah itu bukan sahaja membantu meringankan beban golongan tersebut, malah ia menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap mereka yang banyak menyumbang dalam pembangunan masyarakat luar bandar.

“Saya merakamkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas kenaikan kadar BSH daripada RM300 kepada RM500 bagi bekas anggota KEMAS yang tidak berpencen.

“Isu ini pernah dibangkitkan Kuala Pilah sebelum ini atas permintaan Pengerusi Persatuan Bekas Anggota KEMAS Malaysia.

“Diharapkan langkah ini dapat sedikit sebanyak meringankan beban kewangan dan kos sara hidup pesara KEMAS, yang telah mencurahkan bakti kepada kerajaan dan masyarakat luar bandar selama ini.

“Kuala Pilah percaya bahawa pembangunan luar bandar tidak seharusnya dilihat semata-mata dari sudut infrastruktur fizikal, tetapi juga sebagai usaha memperkasa peluang ekonomi dan memulihkan maruah rakyat desa,” katanya.

Adnan berkata demikian ketika perbahasan sempena Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut beliau turut menyentuh isu pembinaan semula Bangunan MARA Kuala Pilah yang telah dirobohkan sejak tahun 2015, menurut Adnan ia wajar diberikan keutamaan dan dimasukkan di bawah Rolling Plan Pertama Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) agar kerja-kerja pembinaannya dapat dimulakan dalam masa terdekat.

Katanya ini kerana hampir sembilan tahun tapaknya terbiar sedangkan bangunan asal dahulu merupakan nadi peniaga peniaga Bumiputera dengan kadar sewaan berpatutan dan lokasi strategik di tengah bandar Kuala Pilah.

“Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan ekonomi tempatan, tetapi juga menafikan peluang keusahawanan kepada anak-anak muda luar bandar.

“Kuala Pilah yakin, pembinaan semula Bangunan MARA ini akan menjadi simbol komitmen kerajaan dalam membangunkan luar bandar secara inklusif serta memperkasa ekonomi Bumiputera dari akar umbi,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO