PRU16: Apakah Peluang UMNO?
SEBAGAI seseorang yang telah lama mengikuti perkembangan politik tanah air dan memahami selok-belok kepimpinan UMNO di peringkat akar umbi, saya melihat Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) sebagai peluang terbaik untuk UMNO bangkit semula.
Jika strategi yang betul digunakan, UMNO boleh menarik semula kepercayaan pengundi Melayu, terutama dalam tiga segmen utama: pengundi kali pertama berusia 18-23 tahun, pengundi muda berusia 25-29 tahun, dan mereka yang berusia 30-35 tahun.
Saya percaya UMNO masih mempunyai kekuatan untuk kembali menguasai sebahagian besar kerusi Parlimen yang hilang, tetapi ia memerlukan pendekatan yang lebih berani dan realistik.
Berdasarkan data PRU15, UMNO hanya memenangi 26 kerusi Parlimen, berbanding lebih 50 kerusi pada PRU14.
Sasaran realistik bagi PRU16 adalah untuk merampas kembali sekurang-kurangnya 20-30 kerusi tambahan, terutama di kawasan-kawasan yang sebelum ini dimenangi oleh PPBM dan Pas dengan majoriti tipis.
UMNO Sebagai Benteng Melayu & Islam Berbanding Pas & PPBM
Saya melihat semakin ramai orang Melayu mula sedar bahawa Pas dan PPBM bukanlah alternatif terbaik bagi mereka. Pas sering bermain dengan sentimen agama, tetapi kelemahan dalam aspek pentadbiran semakin terserlah, terutama di negeri yang mereka kuasai seperti Kelantan dan Terengganu.
Isu-isu seperti pengurusan air, peluang pekerjaan, dan ekonomi rakyat membuktikan bahawa Pas gagal membawa perubahan yang diharapkan.
Malah Menteri Besar Terengganu dikritik oleh penyokong Pas sendiri kerana kerap bercuti di luar negara bersama keluarga di waktu musim tengkujuh melanda negeri itu.
Manakala PPBM pula semakin tenggelam dengan pelbagai skandal rasuah yang melemahkan kredibiliti mereka di mata rakyat. Sokongan terhadap PPBM juga dilihat telah merosot akibat isu integriti dan ketidakmampuan mereka mengurus ekonomi semasa memimpin kerajaan.
UMNO, walaupun menghadapi cabaran dalaman, tetap mempunyai rekod yang lebih kukuh dalam memperjuangkan hak dan kepentingan orang Melayu serta agenda Islam.
Jika UMNO berjaya menampilkan barisan kepimpinan yang lebih segar dan fokus kepada kebajikan rakyat, ramai pengundi Melayu akan kembali menyokong parti ini.
UMNO & Peranan Dalam Kerajaan: KKDW Sebagai Senjata Utama
Saya melihat kedudukan UMNO dalam kerajaan hari ini sebagai satu kelebihan besar yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang diterajui oleh Presiden UMNO memainkan peranan penting dalam membantu masyarakat luar bandar.
Agensi-agensi seperti MARA, RISDA, FELCRA dan lain-lain berpotensi menjadi pemacu utama dalam menarik kembali sokongan pengundi Melayu.
Antara strategi yang dimanfaatkan melalui KKDW:
• Meningkatkan Skim Bantuan Pendidikan MARA bagi membantu pelajar Melayu B40 melanjutkan pelajaran.
• Memperbanyakkan Program Usahawan Desa melalui FELCRA dan RISDA bagi meningkatkan daya ekonomi golongan luar bandar.
• Mengukuhkan Jaringan Infrastruktur Luar Bandar, termasuk perumahan mampu milik dan capaian internet di kawasan kampung bagi menarik pengundi muda.
Kelihatan UMNO bijak menggunakan kedudukan ini untuk membuktikan kepada rakyat bahawa mereka serius dalam memperjuangkan ekonomi, kesejahteraan orang Melayu serta kepentingan Islam, sokongan terhadap parti ini pasti akan meningkat.
Agenda Melayu & Islam Masih Relevan Di Hati Pengundi
Saya yakin bahawa agenda Melayu dan Islam masih dekat di hati pengundi Melayu tanpa mengira segmen umur. Pengundi muda mungkin lebih progresif, tetapi mereka tetap menghargai perjuangan mempertahankan hak keistimewaan Melayu dan Islam dalam negara.
Hari ini pengundi muda Melayu masih cenderung kepada parti yang mempertahankan kedudukan Islam dan hak Bumiputera.
UMNO perlu terus memainkan peranan sebagai pembela utama kepentingan Melayu dan Islam tanpa rasa apologetik.
Naratif ini bukan sahaja dapat menarik kembali pengundi lama, tetapi juga membina keyakinan dalam kalangan pengundi muda yang ingin melihat kepimpinan yang berprinsip dan tegas dalam mempertahankan identiti negara.
Penguasaan Media Sosial Sebagai Kunci Sokongan Pengundi Melayu
Salah satu faktor utama yang meningkatkan sokongan orang Melayu terhadap UMNO ialah penguasaan media sosial melalui ‘influencer’ politik dalam parti.
Pemimpin muda seperti YB Datuk Noor Helmy, YB Datuk Dr. Akmal, dan SUA UMNO merangkap Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi telah berjaya menggunakan platform media sosial untuk membuatkan rakyat terutama orang Melayu lebih dekat dengan UMNO.
Konten-konten yang disiarkan tidak lagi hanya laporan aktiviti-aktiviti perasmian, lawatan dan sebagainya tetapi pengguna media sosial mahu melihat sentuhan peribadi kepimpinan UMNO dalam membawa perubahan kepada rakyat.
Strategi media sosial yang agresif dan berkesan penting untuk membantu UMNO membentuk semula persepsi masyarakat terhadap parti, terutama dalam kalangan pengundi muda yang cenderung mendapatkan maklumat politik melalui platform digital seperti TikTok, Facebook dan Instagram.
Dengan kehadiran digital yang kukuh, UMNO kini lebih berdaya saing dalam memenangi hati rakyat menjelang PRU16.
Pas & PPBM: Keretakan Dalaman Akan Jadi Peluang Untuk UMNO
Saya menjangkakan menjelang PRU16, Pas akan mula menjauhkan diri daripada PPBM. Ini kerana PPBM semakin lemah akibat isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang semakin terdedah.
Pas yang selama ini mahu menjaga imej bersih pasti tidak mahu terpalit dengan skandal PPBM, dan ini akan menyebabkan perpecahan dalam Perikatan Nasional (PN).
Menurut pemerhati politik, sekiranya PPBM kehilangan sekurang-kurangnya 20 kerusi yang mereka menangi pada PRU15, UMNO boleh merampas kembali sebahagian besar daripadanya, terutamanya di Johor, Perak, dan Kedah.
Saya juga percaya bahawa di negeri-negeri seperti Kedah, Perak, dan Selangor, UMNO berpeluang untuk menawan semula kawasan-kawasan yang sebelum ini menjadi kubu kuat Pas.
PRU16: Era Kerajaan Campuran Akan Berterusan
Saya tidak nampak mana-mana parti akan mendapat majoriti mutlak dalam PRU16. Ini bermakna kerajaan campuran akan terus menjadi norma dalam politik Malaysia.
Dalam keadaan ini, UMNO mempunyai peranan penting kerana Pakatan Harapan (PH) masih gagal meraih sokongan besar daripada pengundi Melayu.
Dap pula masih menjadi faktor utama yang menyebabkan orang Melayu ragu-ragu untuk menyokong PH secara penuh.
Saya menjangkakan PH akan terus bergantung kepada UMNO untuk mendapatkan undi Melayu selepas PRU16. Ini bermakna UMNO masih mempunyai daya tawar yang tinggi dalam pembentukan kerajaan kelak.
Sekiranya UMNO mampu memperoleh sekurang-kurangnya 50 kerusi Parlimen, ia boleh menjadi ‘kingmaker’ dalam menentukan kerajaan seterusnya.
UMNO Masih Ada Peluang Untuk Bangkit
Sebagai seseorang yang melihat sendiri perjalanan UMNO selama bertahun-tahun, saya masih yakin bahawa UMNO boleh kembali kuat dalam PRU16.
Tetapi ia bergantung kepada sejauh mana UMNO mampu melakukan perubahan dalaman, menarik kembali pengundi muda, dan menggunakan kelebihan kedudukan dalam kerajaan secara strategik.
Jika UMNO dapat menangani cabaran ini dengan baik, kita bukan sahaja dapat meningkatkan jumlah kerusi parlimen, tetapi juga mengembalikan semula kepercayaan rakyat terhadap perjuangan UMNO sebagai parti utama orang Melayu dan Bumiputera.
PRU16 adalah medan ujian sebenar untuk UMNO – dan saya percaya kita mampu bangkit semula. – UMNO ONLINE
Salam Perjuangan,
𝗠𝗢𝗛𝗗 𝗦𝗛𝗨𝗞𝗥𝗬 𝗕𝗜𝗡 𝗥𝗢𝗦𝗟𝗔𝗡 𝘢𝘥𝘢𝘭𝘢𝘩 𝘒𝘦𝘵𝘶𝘢 𝘗𝘦𝘯𝘦𝘳𝘢𝘯𝘨𝘢𝘯 𝘜𝘔𝘕𝘖 𝘉𝘢𝘩𝘢𝘨𝘪𝘢𝘯 𝘚𝘦𝘭𝘢𝘺𝘢𝘯𝘨. 𝘔𝘢𝘯𝘵𝘢𝘯 𝘱𝘦𝘯𝘤𝘦𝘳𝘢𝘮𝘢𝘩 𝘥𝘢𝘯 𝘛𝘦𝘯𝘢𝘨𝘢 𝘗𝘦𝘯𝘨𝘨𝘦𝘳𝘢𝘬 𝘉𝘪𝘳𝘰 𝘛𝘢𝘵𝘢𝘯𝘦𝘨𝘢𝘳𝘢. 𝘈𝘬𝘵𝘪𝘷𝘪𝘴 𝘴𝘦𝘳𝘵𝘢 𝘱𝘦𝘯𝘤𝘦𝘳𝘢𝘮𝘢𝘩 𝘣𝘦𝘣𝘢𝘴 𝘶𝘯𝘵𝘶𝘬 𝘭𝘪𝘵𝘦𝘳𝘢𝘴𝘪 𝘱𝘰𝘭𝘪𝘵𝘪𝘬, 𝘱𝘦𝘳𝘭𝘦𝘮𝘣𝘢𝘨𝘢𝘢𝘯 𝘥𝘢𝘯 𝘯𝘢𝘴𝘪𝘰𝘯𝘢𝘭𝘪𝘴𝘮𝘦