Wan Rosdy Tekankan Bina Sikap Kepimpinan, Disiplin Dan Jati Diri Anak-Anak Muda Pahang
KUALA LUMPUR, 18 Feb – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berharap Kem Kepimpinan A-Plus dapat membina sikap kepimpinan dalam kalangan pelajar yang menyertai kem ini melalui silibus diperkenal.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO menyifatkan kem ini bukan sekadar aktiviti biasa bahkan satu platform untuk membina disiplin dan jati diri anak-anak muda Pahang.
“Saya yakin, peserta Kem A-Plus akan menjadi pemimpin hebat yang bakal memacu kemajuan negeri dan negara.
“Teruskan usaha, gapai cita-cita dan jadilah pemimpin yang berbakti untuk agama, bangsa dan negara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Wan Rosdy berkata demikian ketika merasmikan Kem Kepimpinan Kem A-Plus 2025 bertempat di Institut Latihan Memperkasakan Ummah (ILMU), Kampung Janda Baik.
Majlis turut dihadiri Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Pengerusi Yayasan Pelajaran MARA (YPM), Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said dan Pengarah Sekretariat Mahasiswa Anak Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.
Untuk rekod Kem Kepimpinan A-Plus Siri 1 ini melibatkan 400 pelajar terpilih lepasan SPM dari Cameron Highlands, Kuala Krau, Temerloh, dan Maran.
Wan Rosdy dalam pada itu meluahkan penghargaan kepada MARA, YPM dan semua pihak yang menjayakan program ini. – UMNO Online