Pelbagai Perancangan Berkaitan Tapak Sisa Pepejal Demi Kelestarian Melaka – Rais
MELAKA, 14 Feb – Exco Kanan Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Rais Yasin berkata pelbagai perancangan serta perbincangan berhubung tapak pelupusan sisa pepejal yang lebih sistematik dan lestari di negeri berkenaan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput seterusnya menambah hari ini turut berlangsung perbincangan mengenai perkara berkenaan dalam usaha mencapai satu keputusan yang terbaik untuk manfaat semua pihak.
“Pada hari Jumaat yang penuh keberkatan ini, saya hadir mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Bagi Cadangan Penyediaan Tapak Pelupusan Sisa Industri, Komersial & Institusi (ICI) yang berlangsung di JAPERUN Paya Rumput.
“Mesyuarat ini bertujuan membincangkan perancangan dan strategi bagi penyediaan tapak pelupusan sisa pepejal yang lebih sistematik dan lestari di Negeri Melaka,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online.
Tambah Rais lagi, keperluan berkenaan amat penting bagi memastikan pengurusan sisa industri dan komersial dilakukan secara mampan, sejajar dengan inisiatif hijau dan kelestarian alam sekitar yang digariskan dalam dasar Kerajaan Negeri.
“Saya berharap agar hasil perbincangan mampu diterjemahkan ke dalam tindakan susulan yang efektif, sekali gus memastikan pengurusan sisa pepejal negeri yang lebih cekap dan lestari, demi kesejahteraan rakyat Melaka,” ujarnya.
Turut serta pada mesyuarat berkenaan ialah Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Ir. Ts. Dr. Mohd Azhar Abd. Hamid; Pengarah PLANMalaysia Melaka, TPr. Abdulhan Abdul Lamit; dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM), Ts. Noramirul Nizam Kamis.
Hadir sama Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan, Unit Kerajaan Tempatan, Jabatan Ketua Menteri Melaka, Mahathir Mustafa serta wakil-wakil daripada pelbagai agensi berkaitan. – UMNO Online