‘Perang Saudara’ Dalam Perikatan Nasional, PPBM Cuba Telan Pas – Nor Akmal
KUALA LUMPUR, 20 Jan – Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Nor Akmal Muhammad berpandangan isu membabitkan calon Perdana Menteri Perikatan Nasional (PN) membawa keretakan dalam gabungan parti itu.
Beliau yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Pulai berkata ia ekoran tiada kata putus dicapai mereka ditambah pula adanya kenyataan yang berbeza daripada pemimpin Pas dan PPBM.
“Dengan kenyataan dan ulasan-ulasan yang agak panas daripada beberapa orang kepimpinan parti Pas dan PPBM dalam PN beberapa hari ini dan saya juga berpandangan bahawa isu ini sebenarnya bakal membawa keretakan dalam PN.
“Lihat sahaja Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang telah berkunjung ke kediaman Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin bagi meredakan keadaan yang berlaku beberapa hari ini dalam PN asbab kenyataan Ahli Parlimen Machang daripada PPBM,” katanya kepada UMNO Online.
Rentetan daripada itu Nor Akmal turut sama menyifatkan isu ini bakal menjerumuskan mereka ke kancah perang saudara yang disebabkan dua pemikiran yang berbeza bagi menentukan siapa yang layak menjadi Perdana Menteri.
Ia sekaligus memberikan kesan kepada PN yang dilihat tidak berada dalam keadaan yang teguh untuk menghadapi pilihan raya yang akan datang.
“PPBM masih lagi berkhayal dan bercita-cita besar dengan cuba menjadi ular yang memakan naga di dalam PN.
“Saya yakin situasi terkini akan membawa kemarahan dan tentangan daripada penyokong-penyokong Pas di akar umbi yang telah memberi sokongan padu dan bekerja keras untuk kemenangan calon-calon PPBM dalam PRU15 yang lalu.
“Kita sama-sama saksikan kesudahan drama pertembungan ular yang cuba menelan naga dalam rumah PN ini nanti,” ujar beliau.
Dalam pada itu, beliau turut sama menyifatkan Wan Ahmad Fayhsal seakan melupakan jasa Pas yang membantunya memenangi kerusi Parlimen Machang.
“Jangan lupa kerusi sebagai Ahli Parlimen Machang yang beliau menangi adalah atas ehsan Pas dan juga sokongan Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden Pas.
“Sepatutnya menghormati institusi Presiden Pas yang berjasa kepada beliau,” katanya lagi.
Terdahulu, isu calon Perdana Menteri daripada PN mencetuskan persoalan apabila kenyataan beberapa pemimpin daripada parti gabungan itu dilihat menunjukkan mereka tidak mencapai kata sepakat, sekaligus memperlihatkan keretakan dalam kalangan mereka.
Memetik media tempatan, Mursyidul Am Pas Hashim Jasin dilaporkan berkata tiada perbincangan antara Pas dan PPBM mengenai calon Perdana Menteri PN.
Hashim berkata pengumuman baru-baru ini oleh seorang pemimpin PPBM yang menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri PN dibuat tanpa merujuk kepada Pas. – UMNO Online