Wanita UMNO Terus Solidariti Untuk Najib, Doa Dipermudah Prosiding Mahkamah Rayuan Hari Ini

KUALA LUMPUR, 6 Jan – Wanita UMNO Malaysia berbesar hati melaksanakan bacaan Yasin dan solat hajat semalam bagi mendoakan urusan bekas Presiden dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dipermudahkan menjelang keputusan prosiding Mahkamah Rayuan bagi menentukan ada atau tiada titah adendum.

Diadakan di Surau Surau Ar Rahman Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), ia menyaksikan kehadiran Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, barisan exco dan kepimpinan wanita bahagian-bahagian.

Menerusi perkongsian di hantaran Facebook, mereka turut sama menyatakan komitmen teguh dalam menyokong Najib Razak dan berharap pemimpin itu dan keluarga diberikan kekuatan ketika menghadapi ujian ini.

“Dalam menghadapi ujian dan cabaran yang berat ini, kami berdiri teguh bersama Datuk Seri Najib Razak.

“Semoga kekuatan, kesabaran, dan keadilan sentiasa mengiringi perjuangan ini.

“Doa kami sentiasa bersama Datuk Seri dan keluarga. Terus tabah dan cekal menghadapi segala dugaan. Kebenaran pasti akan muncul jua pada akhirnya. InsyaAllah,” katanya.

Untuk rekod, titah adendum berkenaan dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Najib juga memohon perintah jika titah itu wujud, maka semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit