Ratusan Penyokong Di Istana Kehakiman, Tanda Sokongan Kepada Najib
PUTRAJAYA, 6 Jan – Suasana pekarangan Istana Kehakiman hari ini dipenuhi dengan lautan penyokong Datuk Seri Najib Razak yang menanti penuh sabar keputusan mahkamah berhubung kes rayuannya.
Sejak awal pagi, mereka berkumpul dengan membawa sepanduk dan sorakan seperti ‘Bossku Tetap Di Hati’ dan ‘Keadilan Untuk Najib’, menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap figura politik yang terus menjadi simbol perjuangan parti.
Ada penyokong penyokong yang menempuh perjalanan jauh dari pelbagai negeri namun atas semangat tinggi untuk menunjukkan sokongan kepada bekas Perdana Menteri itu, mereka tetap hadir.
Keputusan yang bakal diumumkan ini dijangka menjadi titik penentu dalam perjalanan politik Najib serta memberi impak besar kepada landskap politik Malaysia.
Sementara itu, penyokongnya terus menunggu dengan sabar, diselubungi harapan dan doa.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengawal dan memperketatkan kawalan keselamatan di sekitar mahkamah dengan rapi.
Ianya bagi memastikan perhimpunan berlangsung secara aman serta mengarahkan para penyokong untuk menjaga disiplin dan mematuhi arahan pihak berkuasa. – UMNO Online