Bukti Strategi Signifikan… Hasil Negeri Pahang Meningkat Sebanyak 174.9 Peratus – Wan Rosdy
KUALA LUMPUR, 6 Jan – Peningkatan hasil Negeri Pahang bagi tempoh 2018 hingga 2025 sebanyak 174.9 peratus menjadi bukti kepada strategi yang dilaksanakan memberi pulangan signifikan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kejayaan tersebut turut mencerminkan komitmen semua pihak untuk memastikan Negeri Pahang terus berkembang maju.
“Alhamdulillah. Berdasarkan unjuran prestasi hasil negeri bagi tempoh 2018 hingga 2025, hasil negeri Pahang mencatatkan peningkatan yang sangat membanggakan iaitu sebanyak 174.9 peratus dengan hasil negeri daripada RM434.3 juta pada 2018 kepada sasaran RM1.194 bilion pada tahun 2025.
“Peningkatan ini adalah bukti bahawa strategi yang kita laksanakan, termasuk dalam sektor ekonomi, pengurusan sumber dan pembangunan berteraskan kemampanan memberikan hasil yang signifikan.
“Ia juga mencerminkan komitmen semua pihak daripada kepimpinan negeri, penjawat awam, sektor swasta serta rakyat Pahang untuk memastikan negeri ini terus berkembang maju dan sejahtera,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO mengajak semua pihak untuk meneruskan usaha tersebut agar Pahang terus menjadi sebuah negeri yang makmur.
“Marilah kita teruskan usaha ini dengan penuh iltizam dan kesungguhan agar Pahang terus menjadi negeri yang makmur, stabil, dan berdaya saing.
“Semoga Allah SWT terus merahmati negeri Pahang dan seluruh rakyatnya. ‘Prestasi Dipertingkat Kemakmuran Dipertahan’,” katanya. – UMNO Online