Kes Najib: UMNO Perak Sokong Pendirian Ibu Pejabat… Hormat Proses Perundangan Negara
LUMUT, 4 Jan – Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak menyokong penuh pendirian ibu Pejabat UMNO agar semua tindakan berkaitan kes Datuk Seri Najib Razak diselesaikan melalui saluran undang-undang yang sah.
Pengerusinya, Datuk Seri Saarani Mohamad menerusi satu kenyataan menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berhubung kuasa prerogatif memberi pengampunan.
“Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak menjunjung kasih atas titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berhubung kuasa prerogatif Baginda memberi pengampunan, menangguhkan hukuman, dan meringankan hukuman untuk kesalahan seperti yang digariskan di bawah Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
“Sehubungan itu, Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak menyokong pendirian Ibu Pejabat UMNO agar semua tindakan berkaitan kes Datuk Seri Najib Razak diselesaikan melalui saluran undang-undang sah, sejajar dengan titah Tuanku yang menganjurkan penghormatan kepada proses perundangan negara,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut menegaskan bahawa UMNO tetap teguh mendukung kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu serta menjunjung kedaulatan dan keluhuran undang-undang dengan tidak meneruskan perhimpunan telah dirancang.
“Dalam hubungan ini, sebagai parti yang tetap teguh mendukung kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu serta menjunjung kedaulatan dan keluhuran undang-undang, UMNO Negeri Perak akur dengan ketetapan pihak berkuasa untuk tidak meneruskan perhimpunan yang dirancang pada 6 Januari 2025.
“UMNO Negeri Perak menaruh keyakinan terhadap kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam mempertimbangkan rayuan terhadap kes Dato’ Sri Najib, supaya pemimpin yang banyak berjasa kepada negara itu mendapat sebaik-baik keadilan,” katanya. – UMNO Online