Mohd Rafi Tegaskan Himpunan Solidariti Tidak Berkaitan Dengan Parti Lain

LABUAN, 2 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Datuk Alli Hassan, menegaskan bahawa Himpunan Solidariti yang akan diadakan pada 6 Januari ini di Istana Kehakiman Putrajaya sebagai tanda sokongan kepada mantan Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak, tidak ada kaitan dengan parti lain, termasuk Pas atau Dap.

Beliau menegaskan bahawa perhimpunan tersebut merupakan satu bentuk sokongan dan setiakawan ahli-ahli UMNO terhadap Najib yang banyak berjasa bukan hanya kepada parti, tetapi juga kepada agama, bangsa, dan negara.

“Kami tahu menilai dan menghargai jasa beliau, maka kami bersolidariti demi perbicaraan yang adil untuk beliau,” ujar beliau dalam kenyataan kepada UMNO Online.

Dalam hal ini, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan turut mengingatkan pihak-pihak tertentu agar tidak membuat tuduhan yang tidak berasas dan dangkal terhadap UMNO.

Menurut Mohd Rafi, UMNO tahu apa yang sedang dilakukan dan hal ini adalah urusan dalaman parti.

“Ini rumahtangga kami, seeloknya jagalah rumahtangga masing-masing walhal kalian juga berdepan dengan kemelut dalaman yang tidak akan sesekali kami campuri. Jangan jadikan kami sebagai kambing hitam untuk kalian cuba mencipta populariti melalui politik murahan,” tambahnya.

UMNO, katanya, adalah sebuah parti yang berprinsip dan bermaruah yang sentiasa berpegang kepada persefahaman yang telah dibuat.

“UMNO bukan saudagar politik yang menjadikan kuasa sebagai batu loncatan, sebaliknya adalah parti yang lahir dari rakyat untuk rakyat, sedia berkhidmat dalam perjuangan yang tak pernah padam,” kata beliau.

Beliau juga mengingatkan semua pihak untuk tidak menjadikan UMNO sebagai kambing hitam dalam usaha mencipta populariti melalui politik yang murah. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit