Mohamad Hasan Manfaat Tahun Baharu, Santuni Rakyat Melalui Aktiviti Kemasyarakatan
KUALA LUMPUR, 2 Jan – Kemeriahan sambutan tahun baharu dimanfaatkan sepenuhnya Timbalan Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan bagi menyantuni rakyat di kawasan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Rantau berbesar hati pada hari pertama tahun baharu bersama penduduk dalam Sukaneka Komuniti Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Rantau yang dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Program ini dilihat sebagai platform terbaik dalam merapatkan ukhuwah antara masyarakat setempat serta bersama pemimpin.
“Hari pertama di tahun 2025 saya mulakan pagi dengan memeriahkan Sukaneka Komuniti JPKK Kampung Rantau yang diadakan di Padang Dewan Komuniti Rantau.
“Alhamdulillah, pelbagai aktiviti menarik seperti pemeriksaan kesihatan percuma Peka B40, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, timang bola takraw, baling kelapa, tarik tali dan pelbagai acara lagi disediakan untuk semua lapisan umur,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Mohamad dalam pada turut sama merakamkan penghargaan kepada penduduk Kampung Rantau dan penganjut, JPKK Kampung Rantau yang menganjurkan program seumpama ini.
“Tahniah kepada semua warga Kampung Rantau yang hadir bagi memanfaatkan hari cuti umum.
“Syabas juga kepada JPKK Kg Rantau atas anjuran program yang berjaya memupuk semangat kesukanan sekaligus memberi peluang bersama memupuk semangat kejiranan komuniti setempat,” ujar beliau. – UMNO Online