Tahun Baharu 2025: Azalina Sorot Pencapaian Kerajaan Madani, Manfaat Untuk Rakyat

KUALA LUMPUR, 1 Jan – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru 2025 kepada seluruh rakyat Malaysia.

Dalam ucapannya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya, beliau mengimbau kembali pencapaian cemerlang yang telah dicapai oleh Kerajaan Madani sepanjang tahun 2024, meskipun menghadapi pelbagai cabaran ketidaktentuan ekonomi dan geopolitikal global.

“Sepanjang tahun 2024, Kerajaan Madani berjaya melakar pelbagai kejayaan dalam dan luar negara, walaupun terpaksa berdepan dengan ketidaktentuan yang menjejaskan ekonomi global dan landskap geopolitik.

“Saya amat berbangga dengan segala pencapaian ini, yang membuktikan keteguhan dan komitmen kerajaan dalam memberikan yang terbaik untuk rakyat,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi turut menekankan kemajuan yang dicapai dalam segmen undang-undang dan reformasi institusi.

Katanya, antara kejayaan penting yang dinyatakan adalah penggubalan Akta Keselamatan Dalam Talian dan beberapa pindaan kepada Kanun Keseksaan untuk menanggani isu jenayah dalam talian seperti buli siber dan penipuan dalam talian (online scam).

Inisiatif ini, menurut Azalina, adalah penting untuk menjaga keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia di era digital.

Mengenai tahun 2025, Azalina menjanjikan bahawa usaha reformasi undang-undang akan dipergiatkan dengan beberapa inisiatif penting iaitu antaranya adalah penggubalan Akta Kebebasan Maklumat serta penyelesaian kajian empirikal berkenaan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

“Saya berdoa agar Tahun 2025 ini membawa kebahagiaan, kestabilan dan kemakmuran kepada kita semua, rakyat Malaysia tercinta. Kerajaan akan terus berusaha keras untuk merealisasikan reformasi yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat,” tambahnya lagi.

Dengan harapan yang tinggi, beliau mengajak semua rakyat Malaysia untuk terus bersama-sama dalam memajukan negara demi kesejahteraan bersama. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit