Selamat Tahun Baharu 2025: Perkukuh Tekad Perjuangan Demi Negara Makmur – Tengku Adnan

PUTRAJAYA, 1 Jan – Tahun Baharu 2025 membuka peluang untuk refleksi dan penilaian terhadap pelbagai aspek kehidupan, terutama dalam politik negara.

Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama memperkukuh tekad dalam memperjuangkan masa depan negara yang lebih stabil dan makmur.

Dalam perutusan Tahun Baharu 2025, beliau mengingatkan bahawa tahun baharu bukan sahaja menandakan permulaan kalender baru, tetapi juga merupakan masa yang sesuai untuk menilai perjalanan politik negara, terutamanya peranan yang dimainkan oleh UMNO/BN dalam menggalas amanah rakyat.

“Tahun 2024 menyaksikan pelbagai peristiwa besar yang memberi kesan mendalam kepada landskap politik negara, termasuk perubahan dasar dan dinamik parti-parti politik. Semua ini memberikan petunjuk tentang arah tuju UMNO/BN,”
kata beliau dalam satu kenyataan dalam laman Facebooknya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya juga menegaskan bahawa perubahan yang berlaku memberi ruang untuk UMNO/BN memperbaiki kelemahan yang ada, serta menilai sejauh mana kejayaan parti dalam memperkukuh sistem demokrasi, menjaga keamanan negara, dan memajukan kesejahteraan rakyat.

Dalam masa yang sama, beliau menekankan pentingnya kestabilan politik dalam memastikan negara terus aman dan berkembang.

“Ketegangan dan ketidaktentuan politik yang berlaku selepas PRU ke-14 memberi impak besar kepada ekonomi dan menggugat keharmonian negara. Oleh itu, tekad untuk memperkukuh UMNO/BN demi masa depan agama, bangsa, dan negara perlu diteruskan,” ujarnya.

Tengku Adnan juga menegaskan bahawa perjuangan politik bukan hanya berkisar tentang merebut kuasa, tetapi lebih penting lagi, tentang memastikan rakyat dapat menikmati hasil daripada pentadbiran yang baik dan berwibawa.

“Sama-sama kita memperkukuh tekad untuk memastikan negara ini terus stabil, makmur, dan berkembang pada tahun 2025. Perjuangan ini perlu diteruskan demi generasi akan datang,” tambah beliau.

Beliau juga menyeru seluruh ahli UMNO untuk terus bergerak ke hadapan, memperbaiki kelemahan, dan memastikan kejayaan untuk negara tercinta. Datuk Seri Tengku Adnan berharap agar Tahun Baharu 2025 membawa tekad yang lebih kuat dalam memperjuangkan kesejahteraan rakyat dan masa depan yang lebih cerah. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit