PRN17: Sudah Tiba Masa Rakyat Sabah Tentukan Masa Depan Lebih Baik – Bung

KUALA LUMPUR, 31 Dis – Ketua UMNO Negeri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata sudah tiba masa untuk semua rakyat Sabah menentukan masa depan yang baik untuk negeri itu.

Ujar Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri itu, peluang tersebut perlu direbut apabila tiba Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) kelak.

“BN Sabah bersedia mengeluarkan Sabah dari negeri termundur dari peta negara ini, ini termasuk mengeluarkan lapan daerah termiskin di Sabah.

“Ini akan berlaku sekiranya rakyat Sabah memberi kepercayaan kepada BN dan rakan-rakan untuk menang dalam PRN17 akan datang.

“Insya-Allah, kami tidak akan mengkhianati mandat rakyat, apa yang kami janji akan kami tunaikan semasa pemerintahan berjalan,” tegas Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan dalam satu perkongsian di Facebook.

Direkodkan, lapan daerah termiskin itu ialah di Tongod, Beluran, Pitas, Kinabatangan, Kota Marudu, Tuaran, Ranau dan Lahad Datu.

Dalam perkembangan berkaitan, Bung Moktar berkata BN kini sedang mengadakan jelajah GERAK17 di seluruh negeri.

Sabtu lalu, GERAK17 diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bangkoka dan Bung bersyukur ia mendapat sambutan yang hangat daripada masyarakat setempat.

“Pemimpin UMNO/BN Sabah berjaya menyampaikan mesej penting kepada rakyat Sabah, dan betapa perlunya rakyat Sabah mara ke hadapan dalam PRN17 akan datang untuk menukar Kerajaan GRS yang gagal dalam mentadbir negeri Sabah.

“UMNO/BN sudah bersedia untuk membawa perubahan, mari kita bersama membangun negeri Sabah ke arah yang lebih baik dari keadaan pada hari ini.

“Rakyat Sabah berhak hidup dalam keadaan yang lebih baik sebab Sabah adalah sebuah negeri yang kaya sekiranya diurus dengan baik,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag itu. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit