2025 Tahun Melakar Kejayaan Baharu, Memacu Kemajuan Negara

KUALA LUMPUR, 31 Dis – Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap agar tahun 2025 merupakan peluang untuk kita terus melakar kejayaan baharu dan memacu perubahan positif.

Kata Ahmad Zahid selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) dalam satu perutusan sempena kehadiran tahun baharu esok, ia juga membawa kemajuan yang lebih bermakna buat negara Malaysia.

“Tahun 2025 juga adalah waktu untuk kita menggandakan usaha, memperkukuhkan azam dan memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan.

“Saya mendoakan agar tahun baharu ini akan membawa lebih banyak kemakmuran, kebahagiaan dan keberkatan kepada seluruh rakyat Malaysia” katanya dalam satu perkongsian di laman Facebook dan akaun X.

Ulas Ahmad Zahid, mengimbau perjalanan sepanjang tahun 2024, banyak pencapaian yang telah kita capai bersama hasil daripada usaha gigih dan kerjasama erat daripada seluruh lapisan masyarakat.

“Segala kejayaan ini menjadi asas kukuh untuk kita terus melangkah dengan lebih yakin ke hadapan,” katanya.

Terdahulu dalam status di platform media sosial yang sama, Ahmad Zahid berkata dalam keterujaan menyambut tahun baharu 2025, kita juga turut meraikan ketibaan bulan Rejab yang mulia pada tarikh 1 Januari 2025.

“Alhamdulillah, kita bersyukur atas nikmat masa dan kesempatan yang telah diberikan oleh Allah SWT.

“Bulan Rejab adalah salah satu daripada empat bulan haram yang dimuliakan dalam Islam dan bulan persediaan untuk kita mula melatih diri memperhebatkan ibadah sebelum kedatangan bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

“Antara amalan yang sangat digalakkan termasuklah berpuasa sunat, bersedekah, memperbanyakkan istighfar, berdoa dan berzikir,” tambah Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid menyeru semua memanfaatkan peluang ini dengan meningkatkan amal kebaikan, memperbanyakkan masa untuk bermuhasabah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

“Selamat menyambut bulan Rejab 1446H. Semoga Allah SWT merahmati dan mempermudahkan perjalanan hidup kita menuju kebaikan. Insya-Allah,” ujarnya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit