Azalina Bincang Kerjasama Strategik IACA-Malaysia Di Qatar

KUALA LUMPUR, 28 Nov – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said pada lawatan rasminya ke Doha, Qatar menerima kunjungan hormat Dean of the International Anti Corruption Academy (IACA), Prof Slagjana Taseva beserta delegasi beliau bagi membincangkan kerjasama strategik antara IACA dan Malaysia.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata pertemuan tersebut antara lain berhubung penganjuran IACA Regional Summer Academy di Kuala Lumpur pada tahun 2025.

“Sempena lawatan rasmi saya dan delegasi Malaysia ke Doha sebelum Majlis Pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri bagi Badan Penguatkuasaan Anti Rasuah Negara-Negara Anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), saya telah menerima kunjungan hormat Prof Taseva.

“Dalam pertemuan tersebut juga, kami telah sempat bertukar-tukar pandangan mengenai banyak perkara yang terkait dengan inisiatif dan usaha-usaha ke arah pencegahan rasuah terutama dari aspek pendidikan.

“Selain itu, kesempatan ini juga saya gunakan untuk berbincang dengan Prof Taseva berhubung kerja-kerja dan operasi serta pentadbiran IACA selaku Presiden Assembly of Parties (AoP), IACA bagi sesi 2024-2025 yang baru dipilih bulan lalu,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Azalina dalam pada itu berkata pertemuan tersebut mencerminkan peranan penting dan kepercayaan besar yang diberikan kepada Malaysia untuk mengemudi IACA kali ini.

Turut sama dalam pertemuan tersebut ialah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dan Duta Besar Malaysia ke Qatar, Mohd Faizal Razali. – UMNO Online

[the-post-grid id="151977" title="post"]
@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.