Jelajah Penerangan UMNO: Inisiatif Baik, Proaktif Dekati Akar Umbi – Noor Azleen
PENGERANG, 27 Nov – Jelajah Penerangan UMNO Malaysia merupakan insiatif yang baik dan proaktif untuk mendekati akar umbi dalam memberi penjelasan mengenai isu-isu semasa.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor, Noor Azleen Ambros berkata, program tersebut turut memberikan pendedahan mengenai hala tuju parti untuk berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Jelajah Penerangan UMNO Malaysia ini adalah sebuah program yang saya rasa harus diberikan pujian. Ia merupakan inisiatif yang baik dan proaktif untuk kita lebih dekat dengan akar umbi.
“Program ini turut memberi penerangan secara jelas tentang apa yang berlaku. Apa yang paling mustahak, pimpinan akar umbi UMNO turut diperjelaskan mengenai hala tuju dan perkara perlu dilakukan untuk berhadapan dengan PRU akan datang,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut, beliau berharap agar para pemimpin dan akar umbi kekal fokus dalam usaha untuk menarik sokongan rakyat terhadap parti.
“Hari ini UMNO sudah berada di landasan yang baik. Para pemimpin parti dan seluruh akar umbi juga saya harap kekal fokus. Jangan mudah lalai. Ini kerana dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) pun dah tunjukkan bahawa sokongan pemundi itu tidak pegun dan boleh berubah-ubah mengikut sentimen serta keadaan semasa.
“Harapan saya agar wakil-wakil rakyat dan pimpinan yang sedia ada untuk terus fokus. Buat yang terbaik untuk rakyat. Pastikan apa jua yang kita lakukan adalah untuk kepentingan seluruh masyarakat dan juga negara. Sudah tentulah itu akan menjadi penilaian utama rakyat apabila sampai masanya,” katanya lagi.
Untuk rekod, sebanyak tiga bahagian dihimpunkan untuk Jelajah Penerangan UMNO yang diadakan pada Sabtu iaitu Pengerang, Kota Tinggi dan Pasir Gudang.
Program yang dilaksana hasil cetusan idea Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said ini bertujuan untuk memberikan penjelasan mengenai isu-isu semasa yang berkaitan dengan perkembangan politik di negara ini.
Lebih 300 orang pemimpin di peringkat bahagian tersebut telah hadir untuk mempelajari pelbagai teknik bagi menghadapi pilihan raya akan datang termasuklah penguasaan media sosial dan kecerdasan bulatan (AI).
Turut hadir, Naib Presiden UMNO merangkap Ketua Bahagian Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Ketua Penerangan UMNO Malaysia merangkap Ketua UMNO Bahagian Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dan para pemimpin empat peringkat dari setiap bahagian terlibat. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman