Jelajah Penerangan UMNO Beri Manfaat, Fokus Perkasa Akar Umbi – Haryaty

AYER KEROH, 25 Nov – Exco Wanita UMNO, Datuk Haryaty Hamdzah menzahirkan penghargaan pada Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said yang turun ke bawah memberi penerangan kepada akar umbi dalam siri Jelajah Penerangan UMNO.

Menurut beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka, program yang dianjurkan oleh Penerangan UMNO Malaysia di Melaka memberikan manfaat besar dan amat penting sebagai penerangan yang jelas untuk dimanfaat di peringkat bahagian.

“Penekanan yang diberikan oleh Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said serta pakar-pakar yang turut serta dalam program tersebut terutamanya kepentingan menguasai platform media sosial dan jentera penerangan haruslah bergerak secara bersepadu.

“Memandangkan platform ini mempunyai algoritma tertentu serta memerlukan kerjasama banyak pihak untuk membantu, menjayakan dan memenangi sesuatu isu maka ia wajar dilaksanakan bersama.

“Jentera Penerangan UMNO harus melakukan gerak kerja dengan bersepadu untuk menarik sokongan rakyat, ia tidak boleh digerakkan secara solo kerana memerlukan sokongan, impak serta ‘virality’ pada masyarakat. Paling penting rakyat tahu peranan menarik sokongan pada UMNO/Barisan Nasional (BN) dan juga kerajaan sekarang ini,” katanya.

Pada masa yang sama menegaskan bahawa pengundi muda memainkan peranan penting dalam menentukan hasil Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Pengundi muda amat penting untuk mengundi pada PRU ke-16 mahupun PRN Melaka. Ia satu cabaran dan kita perlu merancang lebih awal agar dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Saya percaya jika usaha ini dapat dilakukan secara berterusan maka pasti ada kesan positif terutamanya bagi negeri Melaka untuk kekalkan kerajaan yang sedia ada iaitu yang ditadbir oleh UMNO/BN.

“Kita perlu bergerak secara agresif dan efisien, khususnya dalam gerak kerja media sosial untuk memastikan strategi mendekati pengundi muda berkesan. Fokus utama bukanlah sekadar mencipta kandungan viral atau menyerlahkan individu tertentu, tetapi mempertahankan dan memperkukuhkan usaha parti mendekati golongan muda,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, dengan usaha yang berterusan, UMNO/BN mampu memberi kesan positif dan memperkukuh kedudukan di negeri Melaka menjelang pilihan raya. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit