UMNO Bahagian Beaufort Terus Komited, Laksana Gerak Kerja ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’

BEAUFORT, 21 Nov – UMNO Bahagian Beaufort menegaskan komitmen penuh untuk terus berkhidmat kepada rakyat melalui prinsip utama parti iaitu ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’.

Ketuanya, Datuk Awang Aslee Lakat berkata walaupun berdepan pelbagai cabaran politik dan sosial namun perjuangan parti ini untuk membela nasib rakyat tidak akan terhenti dan fokus turun padang memastikan bantuan serta terus dilaksana.

“UMNO Sabah melalui gerakan di peringkat bahagian dan cawangan akan terus melaksanakan tanggungjawab ini dengan sepenuh hati. Kami tidak akan terpengaruh dengan cabaran atau halangan, kerana matlamat kami adalah untuk memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat pembelaan yang sewajarnya.

“Rakyat memerlukan lebih daripada sekadar janji politik, mereka memerlukan tindakan nyata yang membawa perubahan dalam kehidupan mereka dan UMNO Bahagaian Beaufort sedaya upaya membantu walaupun tidak dinafikan ada pelbagai cabaran,” katanya kepada UMNO Online.

Sebagai bukti komitmen tersebut, jelasnya, UMNO Bahagian Beaufort melalui Biro Kebajikannya telah meneruskan program turun padang yang melibatkan penyampaian sumbangan kepada masyarakat yang memerlukan.

Antaranya ialah kepada keluarga mendiang Seno Rasamat di Batu Linting yang disampaikan oleh Maimun Dullah bagi pihak UMNO Bahagian Beaufort.

Program juga disertai oleh beberapa pemimpin UMNO, termasuk Ketua PDM Tanjung Aru, Mahali Lakat; Ketua Cawangan Batu Linting, Suhaily Kanalam, selain Jawatankuasa bahagian empat peringkat UMNO Bahagian yang sentiasa menyokong aktiviti-aktiviti kebajikan ini.

Jelas Awang Aslee, program sedemikian bertujuan untuk memberikan sokongan moral dan material kepada keluarga yang terkesan oleh kehilangan orang tersayang.

“Program seperti ini menunjukkan bahawa UMNO bukan hanya hadir semasa musim pilihan raya, tetapi sentiasa berada bersama rakyat, lebih-lebih lagi dalam situasi sukar seperti kehilangan orang tersayang.

“Inilah maksud sebenar khidmat bakti yang kami perjuangkan, di mana parti ini sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat. Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk memberi perhatian kepada golongan yang memerlukan serta mengukuhkan hubungan antara parti dan masyarakat.”

Awang Aslee juga memaklumkan bahawa usaha kebajikan seperti ini perlu diteruskan, kerana UMNO adalah parti yang diwujudkan untuk rakyat maka setiap rakyat perlu merasai manfaat kewujudannya yang amat prihatin.

“Kami akan terus memberi khidmat tanpa mengenal masa. Tanggungjawab kami adalah untuk melihat perubahan positif dalam kehidupan rakyat, khususnya mereka yang berada dalam kesulitan,” tambahnya lagi. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit