‘PN Gred F, Kalah Di PRK Nenggiri dan Mahkota’ – Mohd Puad

KUALA LUMPUR, 21 Nov – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi memberi gambaran Perikatan Nasional (PN) berada pada gred terendah.

Kata beliau ini kerana gabungan itu gagal dua kali berturut-turut pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dan Mahkota.

“Kalau guna suara rakyat PN tidak dapat gred langsung. Mereka kalah teruk di Nenggiri dan Mahkota.

“Kerajaan PN adalah kerajaan gagal sebab itu boleh memerintah 17 bulan sahaja. Total F,” sindir beliau pada hantaran di Facebook.

Puad yang juga ADUN Rengit dalam pada itu turut sama memberikan respon terhadap Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang menyentuh berkenaan penilaian dibuat Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) terhadap kerajaan.

“Sekarang ini musim bagi gred tetapi semua itu hanya gred politik.

“BERSIH adalah badan bukan kerajaan (NGO) partisan dan bersikap selektif. Shahidan pula orang PN,” ujar beliau.

Sementara itu menerusi hantaran berbeza Puad menyifatkan BERSIH sebagai tidak layak untuk memberi sebarang penarafan kepada kerajaan ini kerana NGO itu tidak mempunyai kredibiliti untuk memberi penarafan.

Malah katanya lagi, pemimpin BERSIH yang dilantik sebagai anggota Suruhanjaya Pilihan Raya tidak melakukan sebarang pembaharuan begitu juga Maria Chin yang terpilih sebagai wakil rakyat. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit