Dr Asyraf Luah Syukur Keprihatinan Kerajaan Melaka, Baiki Pencawang Telekomunikasi Di KPM Ayer Molek

KUALA LUMPUR, 21 Nov – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki meluahkan kesyukuran atas keprihatinan kerajaan negeri Melaka yang komited dalam memastikan capaian internet lebih lancar bagi kemudahan para pelajar dan tenaga pengajar Kolej Profesional MARA (KPM) Ayer Molek.

Beliau yang juga Pengerusi MARA berkata ini kerana beliau dimaklumkan oleh Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Melaka, Datuk Fairul Nizam Roslan bahawa pencawang telekomunikasi yang telah dibaik pulih kini dalam proses kerja-kerja akhir.

“Alhamdulillah, semalam saya dimaklumkan oleh sahabat saya Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Kerajaan Negeri Melaka Datuk Fairul Nizam Roslan bahawa struktur telekomunikasi baharu setinggi 30 meter kini telah siap dibina dalam tempoh hanya sebulan susulan terjahan saya ke KPM Ayer Molek pada 15 Oktober lalu setelah menerima banyak aduan mengenai masalah capaian internet yang kritikal di kawasan ini.

“Kini dalam proses kerja-kerja akhir seperti sambungan bekalan elektrik oleh TNB sedang dilaksanakan dan menara ini akan diserahkan kepada syarikat penyedia perkhidmatan, U Mobile, dalam masa terdekat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau pada masa sama turut berkata MARA amat komited dalam memastikan isu-isu kritikal seperti ini ditangani dengan segera demi kesejahteraan pelajar dan pembangunan pendidikan.

“Penghargaan saya kepada semua pihak yang telah bekerjasama menjayakan projek ini, termasuk pihak Kerajaan Negeri Melaka, Pengurusan MARA, Melaka ICT Holdings Sdn Bhd, TNB dan U-Mobile yang telah bekerjasama bagi menyelesaikan isu ini.

“Mudah-mudahan ia memberikan dan motivasi kepada para pelajar untuk terus semerlang dan gembira. Diharapkan selepas ini capaian internet akan lebih lancar, bukan sahaja untuk kegunaan pelajar dan pensyarah KPM Ayer Molek tetapi juga untuk manfaat penduduk sekitar,” ujar beliau.

Terdahulu pada bulan lalu Dr Asyraf bertindak melakukan lawatan secara mengejut ke KPM Ayer Molek setelah menerima banyak aduan mengenai masalah capaian internet yang kritikal di kawasan tersebut. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno