Perolehan Kad Pengenalan Struktur Baharu Fasa Akhir, Mempunyai Ciri Keselamatan – Dr Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 20 Nov – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kini sedang dalam fasa akhir untuk memuktamadkan perolehan bagi kad pengenalan struktur baharu yang bakal menggantikan kad pengenalan sedia ada yang telah dikeluarkan kepada rakyat Malaysia sejak tahun 2012.

Menurut beliau penggantian kad pengenalan berkenaan adalah untuk memastikan ianya mempunyai beberapa ciri keselamatan yang ditingkatkan seiring dengan perkembangan teknologi keselamatan terkini.

“Penggantian kad pengenalan struktur baharu ini adalah bertujuan untuk memastikan kad pengenalan yang bakal dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara kepada rakyat Malaysia mempunyai ciri-ciri keselamatan yang tinggi, selamat dan dipertingkatkan selari dengan perkembangan teknologi keselamatan terkini.

“Langkah itu juga bagi membendung sebarang insiden dan percubaan untuk memalsu dan menyalahguna kad pengenalan yang menjadi dokumen pengenalan diri utama di Malaysia,” katanya pada sesi jawab lisan di Parlimen pagi tadi.

Terdahulu, Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan status terkini berkaitan dengan kad pengenalan generasi baharu yang bakal diperkenalkan oleh pihak Kerajaan bagi menggantikan kad pengenalan diri sedia ada dengan tujuan untuk mengatasi isu pemalsuan kad identiti kewarganegaraan.

Sementara itu menjawab soalan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui berhubung garis masa terperinci bagi meminda Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA), memandangkan Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa seksyen 4 dan 15B POCA bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, Dr Shamsul menegaskan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempunyai peranan yang amat penting untuk menyediakan platform yang selamat dan aman bagi menyokong pembangunan negara.

“Sebaik sahaja Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa seksyen 4 dan 15B POCA bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan pada April 2022, KDN telah mengadakan beberapa sesi libat urus (SLU) dengan pemegang taruh berkaitan dan selanjutnya membentangkan cadangan pindaan POCA pada Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 13 Disember 2023.

“Susulan kelulusan Jemaah Menteri terhadap cadangan pindaan POCA, satu SLU khas bagi membincangkan cadangan tersebut dengan lebih terperinci telah dilaksanakan pada Februari 2024 melibatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Menteri Digital, Pegawai-Pegawai Kerajaan dan Ahli Parlimen yang berkaitan. Turut hadir semasa libat urus tersebut adalah pemegang taruh berkaitan termasuklah wakil NGO,” tambahnya.

Tambahnya lagi mengambil kira maklumbalas SLU pada Februari tersebut, KDN telah melaksanakan bengkel susulan pada Mac 2024 bagi meneliti pandangan dan memenuhi hasrat pemegang taruh yang telah diutarakan. Hasil bengkel susulan telah dibentangkan kepada YB Menteri Dalam Negeri melalui satu taklimat pada April 2024.

Dalam taklimat tersebut,ujar beliau Menteri Dalam Negeri telah mengarahkan agar SLU bersama pihak Menteri-Menteri berkaitan diadakan semula sebelum memorandum diangkat untuk persetujuan Jemaah Menteri.

“Selepas beberapa siri perbincangan dan mesyuarat, KDN akan sekali lagi mengadakan SLU bersama Menteri-Menteri berkaitan dalam masa terdekat bagi membincangkan cadangan alternatif pindaan POCA yang baharu. Sekiranya SLU ini mendapat respons yang positif, pindaan POCA dirancang untuk dibentangkan di Dewan yang mulia ini pada Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Parlimen Kelima Belas,” katanya. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit