Pengiktirafan TVET Relevan, Sesuai Untuk Anak Muda Cenderung Bidang Kemahiran – Zulikha
KUALA LUMPUR, 20 Nov – Pengiktirafan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) adalah relevan dan ia sesuai untuk anak muda yang lebih cenderung terhadap bidang kemahiran, kata Penyelaras TVET bagi Sekretariat Majlis TVET Negara, Zulikha Abdul Talib.
Beliau yang juga Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia berkata, stigma masyarakat terhadap bidang TVET ini perlu diperbetulkan kerana ia tidak semestinya untuk anak muda yang gagal dalam akademik.
“Cabaran untuk TVET ini ada dua iaitu persepsi dan promosi. Jadi, cabaran pertama…persepsi untuk TVET ini, kita masih lagi terbawa-bawa stigma masyarakat bahawasanya bidang ini adalah untuk mereka yang gagal untuk akademik.
“Pada saya, kita kena perbetulkan stigma ataupun persepsi masyarakat di Malaysia ini bahawasanya jika ada pelajar cemerlang yang lebih cenderung dan minat terhadap TVET, mereka boleh sambung belajar menerusi platform ini.
“Saya sendiri merupakan bekas pelajar sekolah menengah teknik. Ketika berusia 16 tahun saya sudah didedahkan dalam bidang kejuruteraan. Tetapi, sekarang sekolah menengah teknik sudah dinaiktaraf menjadi kolej vokasional,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi wawancara di rancangan ‘Selamat Pagi Malaysia’ siaran RTM pada Rabu.
Menurutnya, kebolehpasaran graduan TVET amat tinggi dan ia tidak boleh disangkal lagi pada ketika ini.
“Jadi, pensijilan ataupun pengiktirafan (TVET) ini lebih relevan. Sebenarnya, kita bukan nak meminggirkan bidang akademik. Tetapi, bidang ini untuk mereka yang lebih cenderung terhadap kemahiran… kita buka ruang ini.
“Malah, bidang ini amat relevan dan kebolehpasaran graduan-graduan mereka ini, peratusan untuk mendapatkan pekerjaan sangat tinggi. Asalkan mereka berusaha, Insya-Allah akan berjaya,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut menyeru orang ramai untuk datang ke sambutan Dua Tahun Malaysia Madani yang akan diadakan pada 22 sehingga 24 November ini di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).
“Cabaran yang kedua adalah promosi. Kita ada 1,398 buah institusi dan akan bertambah lagi dari semasa ke semasa. Para pelajar sebenarnya tidak perlu keluar jauh untuk sambung belajar kerana dalam kawasan mereka sendiri pun ada bidang-bidang tertentu.
“Mereka boleh membuat permohonan menerusi laman web UP_TVET. Di situ, kita boleh lihat senarai bidang yang diminati dan di mana pusat pengajiannya. Untuk makluman, kita juga akan majlis sambutan sempena dua tahun Malaysia Madani dan kita akan ada promosi TVET juga. Datanglah beramai-ramai pada hari Jumaat sehingga hari Ahad ini di KLCC,” katanya lagi. – UMNO Online