Kerajaan Pandang Serius, Ambil Pendekatan Bersepadu Banteras Penyalahgunaan Dadah

 

KUALA LUMPUR, 20 Nov – Kementerian Dalam Negeri (KDN) amat memandang serius gejala penyalahgunaan dadah dan telah melaksanakan pelbagai langkah pencegahan, pemulihan serta meningkatkan usaha penguatkuasaan untuk membanteras penyalahgunaan dadah.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata jumlah tangkapan kes penyalahgunaan dadah oleh Polis Diraja Malaysia bermula Januari hingga Ogos 2024 untuk negeri Kedah ialah seramai 17,278 orang, meningkat sebanyak 17.3% berbanding jumlah tangkapan keseluruhan pada tahun 2023 iaitu 14,284 orang.

Menurut beliau jumlah tangkapan di daerah Pendang sehingga Ogos 2024 pula ialah seramai 1,166 orang manakala jumlah klien yang menjalani Rawatan dan Pemulihan dalam Institusi dan Komuniti di Negeri Kedah di bawah seliaan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam tempoh Januari hingga September 2024 adalah seramai 5,960 orang dan di daerah Pendang seramai 462 orang menjalani Rawatan dan Pemulihan dalam Komuniti (RPDK).

“Pada masa yang sama, Kementerian Dalam Negeri melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan AADK sentiasa komited dalam usaha membendung kegiatan penyalahgunaan dadah dan bahan di seluruh negara. Antara langkah yang diambil antara lain pelaksanaan “Op Tapis Khas” oleh PDRM yang melibatkan seluruh negeri di Malaysia bagi mengekang aktiviti dadah daripada terus berleluasa. Op Tapis Khas ini tertumpu ke atas kawasan sarang penagih dadah, penempatan Felda, Felcra, Ladang Swasta, kawasan perumahan, penempatan jeti haram, kampung nelayan dan lain-lain.

“Seterusnya tindakan ke atas individu yang terlibat dalam aktiviti kesalahan pengedaran dadah akan ditahan dan dihukum di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 selain Penyediaan Talian Hotline 24 jam iaitu 012-2087222 yang beroperasi 24 jam bagi membolehkan orang awam dari kawasan bandar dan luar bandar menyalurkan maklumat mengenai kegiatan berkaitan dadah supaya tindakan sewajarnya dapat diambil,” katanya pada sesi jawab lisan di Parlimen hari ini.

Terdahulu Ahli Parlimen Pendang, Datuk Haji Awang Hashim meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan butiran mengenai jumlah tangkapan kes penyalahgunaan dadah di negeri Kedah khususnya di daerah Pendang dan apakah penyelesaian segera pihak Kerajaan dalam menangani masalah penyalahgunaan dadah yang semakin berleluasa dalam negara.

Dr Shamsul seterusnya menambah, langah pencegahan lain termasuklah meningkatkan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan tempatan seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan lain-lain agensi dengan berkongsi maklumat risikan dan melaksanakan operasi secara bersama.

Seterusnya tambah beliau lagi melaksanakan kempen-kempen kesedaran awam kepada pelbagai lapisan masyarakat dalam institusi keluarga, institusi pendidikan, tempat kerja dan komuniti.

“Kita juga mengenalpasti kawasan berisiko tinggi yang menjadi tumpuan masalah penagihan dadah berdasarkan 60% populasi klien Rawatan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) seluruh negara dan sehingga September 2024, sebanyak 110 kawasan daripada 115 kawasan telah berjaya ditukarkan kepada Kawasan Berisiko Rendah (KBR).

“Seterusnya kita melaksanakan inisiatif bersepadu menangani masalah penyalahgunaan dadah, substan dan pelencongan sosial di kawasan berisiko tinggi pada tahun 2024 yang membabitkan penyertaan pelbagai Kementerian, Agensi dan NGO; dan mengenalpasti kawasan berisiko tinggi yang menjadi tumpuan masalah penagihan dadah berdasarkan 60% populasi klien Rawatan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) seluruh negara. Sehingga September 2024, sebanyak 110 kawasan daripada 115 kawasan telah berjaya ditukarkan kepada Kawasan Berisiko Rendah (KBR).

“Kita juga melaksanakan inisiatif bersepadu menangani masalah penyalahgunaan dadah, substan dan pelencongan sosial di kawasan berisiko tinggi pada tahun 2024 yang membabitkan penyertaan pelbagai Kementerian, Agensi dan NGO; dan Memperluas akses rawatan dan pemulihan kepada penyalah guna dadah dan bahan melalui Rang Undang-Undang Akta Penagih Dadah Rawatan dan Pemulihan (Pindaan) 2024,” tambahnya. – UMNO Online

[the-post-grid id="151977" title="post"]
@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.