Ir Hasni Harap Johor Turut Diberikan Ruang Expo Osaka 2025
KUALA LUMPUR, 20 Nov – Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Ir Hasni Mohamad berharap Johor akan diberikan ruang untuk berada bersama-sama pada Excpo 2025 Osaka nanti dalam usaha memastikan ekonomi terus berkembang.
Menerusi perbahasannya peringkat jawatankuasa Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata langkah itu penting agar ianya dapat mempamerkan kekuatan ruang pelaburan yang ada di negeri Johor.
“Cuma saya nak bertanya sedikit di bawah butiran ini ialah tumpuan yang akan diberikan oleh MITI sewaktu kita berada di Expo 2025 Osaka. Apakah motto kita, apakah keutamaan yang akan kita berikan?
“Kerana kalau dalam rancangan Special Economic Zone Johor, negara berharap untuk menarik lebih kurang 50 multinational corporation dalam tempoh lima tahun, maka berilah ruang kepada Johor untuk berada bersama-sama sewaktu Expo 2025 Osaka supaya kita dapat mempamirkan kekuatan yang ada pada Johor, tumpuan yang diberikan kepada Johor di bawah Special Economic Zone,” katanya.
Dalam pada itu beliau turut berharap Belanjawan yang diperuntukkan untuk program berkenaan digunakan serta dimanfaatkan sepenuhnya dalam usaha memastikan ianya benar-benar memberikan manfaat.
“Berhubung Expo 2025 Osaka pertama, taniah saya ucapkan kerana Kementerian telah meminta satu peruntukan yang besar dan wajar. Cuma diharapkan supaya bajet berkenaan dapat digunakan sepenuhnya sebagai satu cerminan kedudukan negara kita dan bagaimana pihak Kementerian perlu membuat membuat promosi dan sebagainya.
“Jadi dengan peruntukan seperti mana dibawah butiran ini, jumlah tersebut merupakan satu jumlah yang besar. Jadi gunakanlah dan manfaatkanlah sepenuhnya,” ujarnya.- UMNO Online