MIHAS@Dubai 2024: Bukti Komitmen Kerajaan Negeri Pahang Sokong Usahawan Industri Halal

KUALA LUMPUR, 19 Nov – Penyertaan Negeri Pahang dalam Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di Dubai menjadi bukti bahawa Kerajaan Negeri komited menyokong pertumbuhan usahawan industri halal.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan bahawa Pahang merupakan salah satu daripada empat buah negeri yang membuat penampilan sulung dalam acara MIHAS@Dubai ini.

“Saya menghadiri MIHAS di Dubai yang turut disertai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bersama delegasi dan peserta Malaysia termasuk juga dari Pahang.

“Alhamdulillah, Negeri Pahang merupakan salah satu daripada empat negeri yang membuat penampilan sulung dalam acara MIHAS@Dubai, sebuah platform antarabangsa terkemuka mempromosikan industri halal global.

“Program ini bertujuan memperkenalkan produk dan perkhidmatan halal Malaysia kepada pasaran Timur Tengah serta antarabangsa,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, platform tersebut adalah langkah strategik untuk memasarkan produk halal Negeri Pahang ke pasaran antarabangsa.

“Penyertaan Negeri Pahang dalam MIHAS@Dubai 2024 menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri Pahang dalam menyokong pertumbuhan usahawan di dalam industri halal dan membuka peluang kerjasama perniagaan baru peringkat global.

“Ini adalah langkah strategik untuk memasarkan produk halal negeri ini ke pasaran antarabangsa yang lebih luas.

“MIHAS@Dubai 2024 dijangka menarik penyertaan pemain industri daripada 73 negara dan diharapkan platform ini dapat memperluas rangkaian perniagaan, meningkatkan eksport dan menarik pelaburan asing seterusnya menjadikan Negeri Pahang sebagai destinasi utama hub halal Malaysia,” katanya lagi.

Pada Isnin media melaporkan Malaysia mensasarkan jualan sebanyak RM1 bilion daripada MIHAS yang dianjurkan buat julung kali di Dubai, UAE.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, penganjuran MIHAS@Dubai merupakan satu pencapaian bersejarah bagi industri halal negara kerana berpeluang memperkenalkan produk dan perkhidmatan halal bertaraf dunia ke pasaran antarabangsa.

Beliau berkata, penganjuran pameran itu juga mencerminkan visi jelas untuk memacu industri halal negara ke peringkat global dengan meletakkan Malaysia sebagai pemain utama dalam ekonomi halal global yang kian berkembang pesat.

Penganjuran itu turut menonjolkan kepelbagaian dan keterangkuman ekonomi halal meliputi sektor seperti makanan, farmaseutikal, kewangan, dan pelancongan.

Melalui inisiatif Malaysia membangunkan Taman Halal dengan keluasan lebih 200,000 ekar, membuktikan Malaysia terus terkehadapan dalam memimpin inovasi, kelestarian, dan kecemerlangan dalam industri halal global. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit