KESUMA Kaji Semula Skim PERKESO Untuk Tambah Baik Perlindungan Sosial – Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 19 Nov – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dari semasa ke semasa akan mengkaji semula skim-skim keselamatan sosial PERKESO bagi menambah baik perlindungan dan meningkatkan kesejahteraan golongan sasar.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menyediakan skim insurans sosial bagi yang berpendapatan rendah.

“Akta-akta yang ditadbir oleh PERKESO adalah menjurus kepada skim insurans sosial komprehensif terutama bagi golongan pekerja yang berpendapatan rendah.

“Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) di bawah (Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri) adalah penyelaras dasar dan program perlindungan sosial bagi memperkasakan sistem perlindungan sosial negara,” katanya.

Beliau menjawab persoalan dari Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M. Saravanan yang meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan adakah Kementerian bercadang untuk mengkaji serta memperkenalkan sebuah skim caruman baharu iaitu skim caruman persaraan bagi membolehkan individu yang berusia atas 60 tahun mencarum untuk menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada golongan pesara daripada bencana dan keilatan selepas bersara termasuk golongan suri rumah.

Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis menambah cadangan Ahli Parlimen Tapah untuk perkenalkan skim caruman persaraan yang baharu perlu dikaji dan diteliti.

“Skim caruman persaraan yang baharu perlu dikaji dan diteliti dalam konteks keseluruhan ekosistem perlindungan sosial di negara ini bagi memastikan keberkesanan penyampaian perkhidmatan, mengoptimumkan penggunaan sumber, memastikan kemampanan dana jangka panjang dan mengelakkan pertindihan program perlindungan sosial.

“Untuk menyediakan perlindungan keselamatan sosial golongan suri rumah pula, Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) (Akta 838) telah dikuatkuasakan pada 1 Disember 2022.

“Skim perlindungan sosial ini adalah khusus memberi perlindungan kepada golongan suri rumah daripada bencana domestik dan keilatan semasa menguruskan rumah tangga,” jelas beliau. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit