GiatMARA Disaran Tambah Baik Peralatan Dengan Keperluan Industri – Mohd Isam

KUALA LUMPUR, 19 Nov – Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa menggesa Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) supaya menggunakan peruntukan untuk menambah baik peralatan, jentera atau mempelbagaikan mesin dan barangan yang digunakan untuk tujuan pembelajaran di bengkel-bengkel GiatMARA.

Ini kerana katanya, peruntukan tersebut mengalami peningkatan yang cukup besar iaitu kepada 45 juta ringgit pada tahun depan berbanding hanya 12 juta ringgit sahaja pada tahun sebelumnya.

“Ini menunjukkan keseriusan kerajaan pada hari ini untuk terus memperkasakan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Kementerian sentiasa membuat penilaian terhadap modul pembelajaran atau kursus-kursus yang ditawarkan di Giatmara secara berkala supaya dapat saling melengkapi dengan keperluan semasa dan keperluan akan datang pihak industri.

“Giatmara perlu mengambil kira semua ini supaya dapat melahirkan tenaga kerja mahir tempatan yang mencukupi dan menyeluruh pada masa akan datang,” katanya ketika membahas peringkat jawatankuasa, Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut beliau juga Ketua UMNO Bahagian Tampin berkata, terdapat lambakan kereta daripada pelbagai jenama dari bermacam-macam negara yang terdapat di atas jalan raya pada masa ini.

“Apakah pelan Kementerian terhadap Giatmara pada tahun 2025 dan adakah akan ada pertambahan kursus-kurus baharu.

“Kursus-kursus yang berkaitan automotif, sampai bila pelajar hanya boleh didedahkan dengan kereta Proton lama sahaja untuk mereka kaji dan belajar. Perkara ini belum lagi mengambil kira soal kerancakan penggunaan kereta EV,” katanya lagi.

Pada masa yang sama kata beliau lagi ingin mendapatkan penjelasan secara terperinci polisi MARA pada masa ini masih menetapkan kuota kemasukan 60 peratus pelajar MRSM, hendaklah terdiri daripada golongan B40. Manakala selebihnya terbuka kepada pelajar M40 dan T20 yang layak.

“Meskipun pengambilan pelajar dalam kalangan B40 telah melebihi 80 peratus bagi sesi 2024, saya mencadangkan supaya Kementerian memperbaharui kuota kemasukan secara rasmi supaya tidak lagi menimbulkan perdebatan.

“Apakah kewajaran Kementerian yang masih mengekalkan polisi sedia ada tersebut dengan membuka 40 peratus kuota kemasukan kepada pelajar M40 dan T20 serta menggesa kuota lima peratus kemasukan diberikan kepada Orang Asli,” soalnya.

Ujarnya, tujuan asal penubuhan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) adalah untuk membantu golongan berpendapatan rendah, khususnya para pelajar yang berasal dari kawasan luar bandar. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit