Felda Perlu Diberi Perhatian Khusus Di Bawah KKDW – Jalaluddin Alias

KUALA LUMPUR, 19 Nov – Ahli Parlimen Jelabu, Datuk Seri Jalaluddin Alias berharap agar pihak Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dapat melakukan langkah-langkah yang sewajarnya supaya Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dapat diletakkan di bawah KKDW dan diberikan fokus yang lebih lagi.

Beliau yang juga Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan menjelaskan semua kawasan Felda ini berada di kawasan luar bandar dan merasakan adanya satu Kementerian yang paling tepat untuk diberikan tanggungjawab menjaga hal ehwal agensi tersebut.

“Felda ketika ini diletakkan dibawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan perkaitan dengan KKDW adalah apabila Menteri KKDW yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang diberikan mandat untuk menjadi menteri yang bertanggungjawab menyelia soal ini.

“Felda ini bukanlah satu kelompok yang kecil. Ia meliputi 317 rancangan Felda di seluruh negara dengan lebih 112 ribu peneroka dan melibatkan lebih 482 ribu hektar keluasan tanah ladang.

“Terdapat 54 rancangan Felda di Parlimen dan 92 di Dewan Undangan Negeri (DUN). Angka-angka tersebutkan adalah sangat ‘significant’ dan merasakan Felda ini perlu diletakkan dibawah satu Kementerian khusus yang betul-betul dapat memberikan fokus yang sepenuhnya,” katanya ketika membahas peringkat jawatankuasa, Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Jalaluddin yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata jumlah penduduk di Felda sudah mencecah satu juta orang dan mencapai generasi yang keempat.

“Jika dikira dengan generasi kedua, ketiga dan sudah ada generasi keempat, jumlah penduduk yang berkait dengan Felda ini rasanya sudah mencecah lebih 1 juta orang,” katanya lagi.

Pada masa yang sama kata Jalaluddin lagi setiap kali isu Felda dibangkitkan di Dewan Rakyat dan jawapan yang diberikan tidak dapat menyelesaikan masalah yang berlaku di dalam Felda.

“Sering kali juga isu Felda ini dikebelakangkan sewaktu sesi penggulungan oleh Menteri-Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jawapan yang diberikan juga tidak begitu menjawab soalan dan menyelesaikan masalah yang berlaku di dalam Felda ini.

“Agensi-Agensi lain seperti Risda, Felcra, Kejora, Kesedar, Ketengah, Keda dan lain-lain lagi berada di bawah seliaan dan kawalan KKDW. Hanya Felda sahaja yang terasing berada di bawah JPM,” tegasnya. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit